Xiaomi hari ini melancarkan siri Redmi Note 15 di Malaysia, kemas kini kepada siri Redmi Note 14 yang diperkenalkan tahun lalu. Seperti biasa, sebanyak empat model ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Redmi Note 15 Pro+ 5G, Redmi Note 15 Pro 5G, Redmi Note 15 5G dan Redmi Note 15 4G.
Salah satu perkara yang ditambahbaik Xiaomi untuk siri kali ini adalah rekaan lebih tahan lasak, dengan Xiaomi menggelarkanya memiliki ketahanan “Titan durability”. Bagaiamanpun, dalam artikel ini, kami akan memfokuskan pada model Redmi Note 15 Pro+ 5G dan Note 15 Pro 5G.
Sebenarnya terdapat juga model Redmi Note 14 Pro 4G dalam barisan yang diperkenal di peringkat global pada Disember tahun lalu, namun ia tidak membuat kemunculannya di sini.
Harga siri Redmi Note 15 Pro di Malaysia

Berikut adalah harga jualan kedua-dua Redmi Note 15 Pro+ 5G dan dan Pro 5G di Malaysia:
- Redmi Note 15 Pro+ 5G (12GB+256GB) – RM1,699
- Redmi Note 15 Pro+ 5G (12GB+512GB) – RM1,899 (Promo RM1,699)
- Redmi Note 15 Pro 5G (12GB+256GB) – RM1,399
- Redmi Note 15 Pro 5G (12GB+512GB) – RM1,599 (Promo RM1,399)
Kepada mereka yang berminat, tempahan Redmi Note 15 Pro+ dan Note 15 Pro dibuka dari 16 Januari hingga 21 Januari, dan pembeli dalam tempoh ini turut menikmati percuma naik taraf storan berganda bernilai RM200, tablet Redmi Pad SE 8.7 dengan sarung bernilai RM748, serta 4 tahun waranti bateri, 2 tahun perlindungan kerosakan akibat air, skrin dan panel belakang serta lanjutan waranti satu tahun.
Anda boleh dapatkan siri Redmi Note 15 menerusi mi.com, atau gedung rasmi Xiaomi di Lazada, Shopee dan TikTok.
Spesifikasi Redmi Note 15 Pro+ dan Pro 5G

Redmi Note 15 Pro+ 5G dan Note 15 Pro 5G berkongsi sebahagian besar spesifikasi, dan mengekalkan rekaan hampir seperti generasi sebelumnya. Tapi perbezaan kali ini adalah kedua-duanya hadir dengan skrin lebih besar 6.83″ jenis AMOLED rata dengan kadar segar semula 120Hz dan resolusi 1280 x 2772. Panel ini menyokong HDR10+ Dolby Vision serta kecerahan puncak 3,200 nits.

Salah satu perkara yang ditambahbaik Xiaomi untuk siri kali ini adalah pada segi ketahanan. Menurut Xiaomi, peranti ini menggunakan struktur Titan Redmi bagi melindungi komponen dalaman, selain dilapisi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 untuk perlindungan luaran. Telefon ini turut melepasi piawaian SGS bagi ujian jatuhan dari ketinggian sehingga 2.5 meter, dengan keupayaan menyerap hentakan sehingga 10 kali lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Ia juga hadir dengan penarafan kalis air IP69K, serta ketahanan bateri yang dikatakan mampu bertahan sehingga enam tahun penggunaan.
Gabungan ini dikatakan Xiaomi menjadikan peranti memiliki ketahanan bertaraf “Titan”



Dari segi prestasi, model Redmi Note 15 Pro+ 5G dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 4, manakala Redmi Note 15 Pro 5G pula diperkasa cip MediaTek Dimensity 7400 Ultra. Kedua-duanya menyokong RAM sehingga 12GB serta storan dalaman sehingga 512GB.
Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah berbeza untuk kedua-dua model, dengan Pro+ menerima bateri 6,500mAh dengan sokongan pengecasan 100W berwayar. Sementara itu, Note 15 Pro 5G menerima bateri sedikit lebih besar 6,580mAh dengan sokongan pengecasan pada 45W berwayar. Terdapat juga pengecasan terbaik secara berwayar pada paras 22.5W.

Dari segi pengimejan, kedua-dua model dilengkapi kamera utama 200MP f/1.7 serta kamera ultra-lebar 8MP. Untuk swafoto, Pro+ menggunakan kamera depan 32MP, manakala varian Pro menerima kamera hadapan 20MP. Pilihan warna bagi Pro+ termasuk biru, hitam dan coklat dengan kemasan kulit tiruan, manakala model Pro ditawarkan dalam hitam, biru, ungu dan kelabu.

Kesemua model dalam siri juga akan menjalankan sistem operasi HyperOS 2 dan Xiaomi menjanjikan kemas kini OS selama 4 tahun dan 6 tahun keselamatan untuk siri Redmi Note 15.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Redmi Note 15 Pro+ 5G dan Note 15 Pro 5G.






