Pro-Net kini telah mengumumkan ketersediaan Proton e.MAS 7 2026 di Malaysia. Model baru ini dipasang secara tempatan di kilang EV Proton di Tanjung Malim, dan hadir dengan beberapa ciri tambahan berbanding versi import sepenuhnya (CBU), selain ditawarkan pada harga yang sedikit lebih rendah.
Perkara ini tidak mengejutkan kerana versi pemasangan tempatan e.MAS 7 telah dilaporkan akan diperkenal sejak Februari tahun lalu.
Tempahan untuk Proton e.MAS 7 2026 sudah pun dibuka, namun tarikh penghantaran rasmi masih belum diumumkan. Secara umum, pelanggan yang membuat tempahan sekarang akan menerima unit versi 2026 yang dipasang secara tempatan, yang dipercayai menggunakan konsep Semi Knocked-Down (SKD).
Bagaimanapun, pelanggan masih boleh memilih unit CBU sekiranya mereka mahukannya, tertakluk kepada ketersediaan stok di pusat pameran masing-masing.
Harga Proton e.MAS 7 2026 (SKD) di Malaysia

Berikut adalah harga atas jalan rasmi untuk Proton e.MAS 7 versi SKD, tidak termasuk insurans:
- e.MAS 7 Premium SKD: RM119,800
- e.MAS 7 Prime SKD: RM103,800
Harga di atas tidak termasuk rebat pelancaran RM4,000. Dengan rebat tersebut, harga menjadi:
- e.MAS 7 Premium SKD: RM115,800
- e.MAS 7 Prime SKD: RM99,800

Sebagai perbandingan, berikut harga asal e.MAS 7 versi CBU ketika dilancarkan pada Disember 2024:
- e.MAS 7 Premium CBU: RM123,800
- e.MAS 7 Prime CBU: RM109,800
Pada ketika itu, Pro-Net turut menawarkan rebat pelancaran RM4,000 untuk 3,000 pelanggan terawal, menjadikan harganya:
- e.MAS 7 Premium CBU: RM119,800
- e.MAS 7 Prime CBU: RM105,800
Secara keseluruhan, perbezaan harga antara Premium SKD dan CBU adalah sekitar RM4,000, manakala bagi Prime SKD, penjimatan adalah lebih besar iaitu RM6,000.
Pakej Pelancaran Proton e.MAS 7 2026

Seperti versi CBU sebelum ini, Pro-Net turut memperkenalkan pakej pelancaran untuk versi SKD 2026, kini dikenali sebagai e.MAS 7 Power Pack+. Kandungannya hampir sama seperti pakej terdahulu, merangkumi:
- Pengecas rumah 7kW percuma (RM1,500)
- Penyesuai V2L percuma (RM500)
- Data Internet dalam kenderaan tanpa had selama 5 tahun (RM1,800)
- Tonneau cover
- Rebat tukar beli RM5,000
- Waranti kenderaan 6 tahun tanpa had perbatuan
- Waranti bateri voltan tinggi, motor dan pengawal motor selama 8 tahun atau 160,000km
Pro-Net memaklumkan bahawa rebat Welcome Benefit RM4,000 serta pakej Power Pack+ ini ditawarkan untuk tempoh terhad.
Apa yang baharu pada Proton e.MAS 7 2026?

Dari segi penambahbaikan, e.MAS 7 Prime hanya menerima satu ciri baharu iaitu tailgate berkuasa elektrik. Bagi e.MAS 7 Premium, tiga ciri tambahan sistem bantuan pemandu (ADAS) diperkenalkan:
- Evasive Manoeuvre Assist (EMA) – membantu pemandu mengelak halangan dalam situasi kecemasan
- Front Cross Traffic Alert (FCTA) – memberi amaran kenderaan yang menghampiri dari sisi di persimpangan
- Active Lane Change Assist (ALCA) – menyokong pertukaran lorong dengan memantau titik buta dan melaras stereng jika perlu
Selain itu, aspek lain termasuk reka bentuk luaran, dalaman, pilihan warna, prestasi dan jarak pemanduan kekal sama seperti versi CBU.
Apa maksud Semi Knocked-Down (SKD)?

Secara ringkas, kenderaan SKD dibawa masuk ke Malaysia dalam beberapa komponen utama seperti badan kenderaan, pintu, tempat duduk, komponen dalaman, trenkuasa dan roda sebelum dipasang di kilang tempatan. Ini berbeza dengan kenderaan CKD (Completely Knocked-Down) yang dipasang sepenuhnya setiap satu daripada komponen.

Jika anda lihat siaran media untuk Proton e.MAS 7 pada laman web rasmi Proton e.MAS, anda akan perasan mereka menggunakan perkataan “locally assembled” pada imej pemasaran mereka. Namun, Pro-Net tidak mendedahkan secara jelas sama ada model e.MAS 7 2026 dipasang secara tempatan melalui SKD atau CKD. Jadi, kami beranggapan bahawa ia adalah kenderaan CKD, sehinggalah kami perasan bahawah nama pada fail imej tersebut diletakkan sebagai eMAS-7-SKD-KV-R2-06.
Perkataan SKD juga diperlihatkan pada pembentangan di Proton Tech Showcase, yang merupakan sebahagian daripada pembentangan platform Proton Advanced Modular Architecture (AMA).

Apabila kami menghubungi Pro-Net untuk mendapatkan penjelasan lanjut, syarikat itu memaklumkan bahawa pengumuman kali ini memberi fokus kepada struktur harga baharu, dan mereka tidak dapat berkongsi maklumat tambahan buat masa ini. Walau bagaimanapun, sebelum ini telah dinyatakan bahawa semua model Proton e.MAS berasaskan platform GMA akan beralih kepada pemasangan CKD di Malaysia, termasuk e.MAS 5 (GMA02) dan e.MAS 7 PHEV (GMA03).
Walaupun ada laporan mendakwa konsep SKD telah dimansuhkan sejak 2019, pendekatan ini nampaknya masih digunakan, khususnya dalam industri EV. Beberapa model EV lain juga dilaporkan dipasang secara SKD di Malaysia, ini termasuk TQ Wuling Bingo dan Leapmotor C10.






