Jika anda sedang mencari jam pintar lasak, Garmin kini mempunyai penawaran terbaharu untuk pasaran tempatan. Garmin Malaysia hari ini melancarkan Garmin Tactix 8 Cerakote Edition, jam pintar taktikal premium yang direka khusus untuk kegunaan medan lasak serta aktiviti luar ekstrem.
Model ini merupakan varian baharu yang dibangunkan berasaskan Tactix 8 tahun lalu, tetapi tampil dengan kemasan Cerakote yang memberikan rupa lebih unik serta ketahanan tambahan.
Harga dan ketersediaan Garmin Tactix 8 Cerakote Edition di Malaysia

Garmin tactix 8 Cerakote Edition akan mula dijual di Malaysia bermula 3 Februari 2026, dengan harga RM7,099. Terdapat dua warna disediakan iaitu hijau dan kelabu.
Ia boleh didapati melalui laman web rasmi Garmin Malaysia, serta platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, AECO e-store, selain Garmin Brand Stores dan pengedar sah Garmin di seluruh negara.
Spesifikasi Garmin Tactix 8

Seperti namanya, edisi ini menggunakan salutan Cerakote, iaitu lapisan komposit seramik-polimer yang menjadikan jam lebih tahan calar, hakisan dan bahan kimia. Menurut Garmin, salutan ini disembur pada badan jam dan dipanaskan supaya ia melekat dengan kukuh, sekali gus menghasilkan kemasan yang tahan lasak dan berpenampilan unik.

Jam pintar ini hadir dengan paparan AMOLED 1.4 inci, digabungkan dengan bezel titanium dan kanta sapphire untuk perlindungan tambahan. Ia turut dilengkapi lampu suluh LED terbina dalam, yang berguna untuk penggunaan dalam keadaan gelap. Dari segi ketahanan bateri, Tactix 8 Cerakote Edition mampu bertahan sehingga 29 hari dalam mod jam pintar.
Dari segi fungsi, Tactix 8 Cerakote Edition mengekalkan set ciri taktikal yang ditawarkan pada model tactix 8 standard. Ini termasuk aktiviti rucking untuk penjejakan dengan beban beg di belakang, serta mod Jumpmaster yang menyokong tiga jenis lompatan, HAHO, HALO dan Static.


Jam ini juga boleh memaparkan dua sistem koordinat serentak, seperti MGRS dan latitud/longitud, selain dilengkapi Stealth Mode yang mematikan sambungan wayarles tetapi masih membolehkan penjejakan jarak dan data biometrik tanpa merekod lokasi semasa. Selain itu, ia turut serasi dengan night vision goggles dan menawarkan sokongan khas untuk penembakan jarak jauh menerusi ciri Applied Ballistics Ultralight.

Untuk prestasi dan kecergasan, Tactix 8 Cerakote Edition menyokong aktiviti skuba dan penyelaman bebas dengan kedalaman sehingga 80 meter. Ia turut menyediakan pelan latihan kekuatan, latihan khusus sukan serta penjejakan stamina masa nyata. Pemantauan kesihatan 24/7 turut disertakan, termasuk Body Battery, Pulse Ox, serta pengesanan tidur.
Dari segi navigasi, jam ini menawarkan peta TopoActive yang memaparkan bentuk muka bumi, selain akses kepada peta ribuan padang golf dan resort ski di seluruh dunia serta navigasi penerbangan global. Kedudukan lokasi juga lebih tepat hasil penggunaan GPS pelbagai jalur (multi-band) dengan teknologi SatIQ, bersama sokongan kompas, giroskop dan altimeter barometrik.

Selain itu, jam ini turut menyokong panggilan terus dari pergelangan tangan menggunakan telefon pintar Android atau iPhone yang serasi, menggunakan pembesar suara dan mikrofon terbina pada jam. Ia juga menyokong notifikasi pintar serta Garmin Pay untuk pembayaran tanpa sentuh.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Garmin Tactix 8 Cerakote Edition.






