CelcomDigi baru sahaja mendedahkan pelan Postpaid 5G yang dikemas kini untuk tahun 2026, seminggu selepas mereka mengemas kini pelan prabayar. Walaupun struktur pelan kebanyakannya kekal sama, terdapat beberapa peningkatan menarik terutamanya dari segi kelajuan 5G dan akses kepada penstriman video.
Malah, CelcomDigi turut memperkenalkan pelan premium baharu yang dipanggil sebagai Postpaid 5G 190.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa perubahan penting. CelcomDigi tidak lagi menawarkan broadband fiber 300Mbps percuma selama 6 bulan untuk pelan pascabayar mereka. Selain itu, pelan Postpaid 5G 80 yang paling asas kini hanya membenarkan sehingga 3 talian tambahan berbanding 6 talian sebelum ini.
Semua pelan pascabayar ini masih datang dengan panggilan tanpa had seperti biasa.
CelcomDigi Postpaid 5G 80, 100 dan 120

Pelan asas Postpaid 5G 80 masih menawarkan 300GB data 5G/4G, tetapi kelajuan 5G telah dinaik taraf dengan ketara. Sebelum ini, pelan ini hanya menawarkan kelajuan 5G “Essential” pada 100Mbps, tetapi kini telah dinaik taraf kepada kelajuan 5G “Advance” pada 300Mbps.
Seterusnya, Postpaid 5G 100 masih menawarkan 500GB data 5G/4G. Kelajuan 5G juga telah dinaik taraf daripada “Advance” 300Mbps kepada “Premium” 500Mbps. Pelan ini turut disertakan Viu Premium dan WebShield.
Bagi mereka yang perlukan kuota tanpa had, Postpaid 5G 120 menawarkan data 5G/4G tanpa had dengan kelajuan 5G penuh (uncapped). Pelan ini juga hadir dengan Viu Premium dan WebShield. Menurut CelcomDigi, Dasar Penggunaan Adil (Fair Usage Policy) terpakai untuk kuota tanpa had ini, tetapi terma dan syarat tidak menyatakan dengan jelas had FUP yang dikenakan.
Dari segi talian tambahan, Postpaid 5G 80 membenarkan sehingga 3 talian tambahan dengan diskaun 10%, manakala Postpaid 5G 100 dan 120 membenarkan sehingga 6 talian dengan diskaun yang sama 10%. Tambahan pula, pelanggan Postpaid 5G 120 turut menikmati diskaun 50% untuk semua pas perayauan.
CelcomDigi Postpaid 5G 140, 160 dan 190

Untuk nilai yang lebih besar terutamanya bagi pengguna yang perlu menambah lebih banyak talian tambahan, CelcomDigi turut memperkenalkan pelan premium Postpaid 5G 140, 160 dan 190. Ketiga-tiga pelan ini menawarkan data 5G/4G tanpa had, kelajuan 5G tanpa had serta panggilan tanpa had.
Dengan pelan ini, pelanggan boleh menambah sehingga 6 talian tambahan dengan diskaun 50%, selain menikmati diskaun 50% untuk semua pas perayauan.
Bagi Postpaid 5G 140, pelan ini didatangkan dengan Viu Premium dan WebShield, serta akses kepada PremierCare, iaitu sokongan pelanggan khusus CelcomDigi. Jika naik taraf ke Postpaid 5G 160, pelanggan akan menerima Prime Video bersama WebShield.
Untuk tawaran paling lengkap, Postpaid 5G 190 hadir dengan Prime Video, Viu Premium dan WebShield, selain 30GB data perayauan percuma di Singapura, Indonesia dan Thailand. Pelan ini juga menawarkan akses kepada PremierCare.
Pilihan talian tambahan

Menurut CelcomDigi, pengguna Postpaid 5G boleh memilih mana-mana pelan pascabayar lain sebagai talian tambahan. Bagi pilihan yang lebih mampu milik, pengguna boleh memilih Postpaid 5G 45 SE dan Postpaid 5G 65 SE.
Pelan Postpaid 5G 45 SE berharga RM45 sebulan, atau RM22.50 sebulan dengan diskaun 50%. Ia menawarkan 100GB data 5G/4G dengan kelajuan 5G tahap Essential yang dihadkan pada 100Mbps.
Jika memerlukan lebih data, pilihan Postpaid 5G 65 SE berharga RM65 sebulan, atau RM32.50 sebulan dengan diskaun 50%, menyediakan 250GB data 5G/4G. Kelajuan 5G bagi pelan ini juga dihadkan pada 100Mbps (Essential).
Di bawah ialah pecahan penuh pelan Postpaid 5G CelcomDigi untuk rujukan yang lebih jelas.

Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman CelcomDigi Postpaid 5G.






