Selain memperkenalkan beberapa produk gaming baharu sempena Computex 2026, Acer turut mengumumkan laptop gaming paling berkuasa mereka setakat ini, Predator Helios 18 AI. Model ini merupakan laptop gaming flagship Acer untuk tahun 2026, direka khas untuk gamer tegar dan pengguna yang mahukan prestasi setaraf komputer desktop dalam bentuk sebuah laptop.
Predator Helios 18 AI baharu ini merupakan kesinambungan kepada model tahun lalu, dan kini dinaik taraf dengan pemproses Intel generasi baharu.
Predator Helios 18 AI dikuasakan Intel Core Ultra 9 dan RTX 5090

Sebagai laptop berkkuasa tinggi, Predator Helios 18 AI boleh dikonfigurasikan dengan cip sehingga Intel Core Ultra 9 290HX Plus, dipadankan bersama GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 5090 Laptop GPU. RAM boleh dikonfigurasi sehingga 256GB DDR5, dan storan pula sehingga 6TB melalui tiga slot PCIe Gen 5 NVMe SSD.

Di hadapan, Predator Helios 18 AI menggunakan panel Mini LED WQUXGA bersaiz 18″ dengan resolusi 3840×2400 dalam nisbah 16:10. Kecerahan puncak mencapai 1,000 nits dalam mod HDR, dengan ketepatan warna Calman Verified dan liputan 100% DCI-P3.

Laptop ini turut dilengkapi ciri Dual-Mode Display yang membolehkan pengguna bertukar antara dua mod bergantung kepada keperluan, mod 4K pada 120Hz untuk visual lebih tajam, atau mod Full HD pada 240Hz untuk permainan yang lebih laju dan lancar. Sokongan NVIDIA Advanced Optimus dan G-SYNC turut disertakan untuk pengalaman visual yang lebih konsisten.
Untuk laptop sekuasa ini, sistem penyejukan baik amat diperlukan. Dengan itu, Acer melengkapkan Helios 18 AI dengan sistem dwi-kipas Predator AeroBlade 3D generasi keenam, di mana setiap kipas menampilkan 100 bilah logam setebal 0.05mm sahaja. Reka bentuk ini, menurut Acer, mampu meningkatkan aliran udara sehingga 20% berbanding kipas plastik biasa.

Sistem penyejukan ini turut dibantu oleh saluran udadan sebatian cecair berasaskan logam untuk kecekapan penyejukan yang lebih baik semasa sesi permainan yang berpanjangan.
Selain prestasi, Acer turut memberi perhatian kepada aspek audio menerusi teknologi Predator Vox. Ia menggunakan sistem enam pembesar suara yang direka untuk menghasilkan audio yang lebih jelas, dengan arah bunyi yang lebih tepat dan pengalaman yang lebih imersif. Komponen audio dalaman turut membantu mengurangkan herotan bunyi walaupun pada tahap kelantangan yang tinggi. Sokongan DTS Ultra juga disertakan.
Dari segi sambungan, Predator Helios 18 AI hadir dengan teknologi Intel Killer DoubleShot Pro gabungan WiFi 7 (BE1750x) dan Ethernet E5000B untuk memastikan rangkaian kekal stabil semasa bermain dalam talian.

Untuk port pula:
- 2x Thunderbolt 5 Type-C — untuk bandwidth ultra-tinggi dan pindahan data laju
- USB 3.2 Gen 1 dan Gen 2 Type-A
- HDMI 2.1
- SD card reader
- Jack audio combo
- RJ-45
- Bluetooth 5.4
Papan kekunci laptop ini menggunakan suis mekanikal Predator MagKey 4.0 dengan pencahayaan RGB dinamik. Kamera FHD IR hadir dengan sokongan Acer PurifiedView, dan menggunakan bateri berkapasiti 99Wh dengan berat keseluruhan 3.5kg.

Perisian PredatorSense dan Acer Intelligence Space turut disertakan untuk kawalan prestasi dan akses kepada ciri AI Acer.
Ketersediaan
Predator Helios 18 AI dijadualkan tersedia di:
- Amerika Utara & EMEA – Ogos 2026
- Australia – Suku keempat 2026
Harga rasmi masih belum diumumkan, dan tiada maklumat ketersediaan di Malaysia buat masa ini.






