Samsung Galaxy S10 adalah siri S yang tercanggih pernah mereka hasilkan setakat ini. Julung kalinya hadir dalam tiga model, Galaxy S10 adalah simbol kejuruteraan terulung gergasi dari Korea itu. Bagusnya tentang telefon ini adalah ia tidak mengorbankan apa-apa fungsi yang telah ada pada generasi sebelum ini. Semuanya diwarisi dan diuli bersama teknologi baru tanpa masalah.
Dalam banyak-banyak pembaharuan yang dibawakan dalam siri Galaxy S ini, 5 daripadanya yang perlu anda ambil tahu.
1. CPU Exynos 9820 Berteknologi 8nm
Memang dijangkakan setiap generasi Galaxy S akan menggunakan CPU yang baru. Tapi untuk Exynos 9820 yang digunakan pada S10, ia menggunakan seni bina yang baru. CPU dalam Galaxy S sebelum ini dibina dengan berasaskan konsep big.LITTLE, iaitu teras pengkomputeran dibahagian kepada dua kluster.
Kluster “big” akan menjalankan tugasan berat manakala kluster “LITTLE” menjalankan tugasan ringan. Hasilnya, penjimatan tenaga boleh dicapai kerana teras berkuasa tinggi tidak dibazirkan untuk lakukan tugasan remeh.
Kluster tak sama besar (heterogenous) menggantikan big.LITTLE
Pada Exynos 9820, big.LITTLE telah berevolusi menjadi teras heterogenous. Kluster tidak lagi dibahagi sama rata sebaliknya dibangunkan dalam konfigurasi:
- 2 teras berkuasa tinggi
- 2 teras berkuasa sederhana
- 4 teras berkuasa rendah
Objektif yang ingin dicapai adalah penjimatan bateri yang lebih tinggi berlaku. Jadi anda boleh jangkakan waktu penggunaan yang lebih panjang pada Galaxy S10 berbanding generasi sebelumnya.
2. Paparan Bingkai Nipis Ber-notch
Dalam bulan November tahun 2018, Samsung dalam satu persidangan telah mengumumkan sejumlah inovasi baru dalam bahagian paparan peranti.
Samsung dengan inovasi paparan semasa Samsung Developer Conference 2018
Paparan Infiniti akan hadir dalam beberapa reka bentuk seperti:
- Infiniti-U
- Infiniti-V
- Unfiniti-O
- New Infinity
- Flex Infinity
Untuk Galaxy S10 beberapa daripadanya sudahpun digunakan seperti Infiniti-O dan U. Walaupun sebelum ini pernah mangajuk Apple kerana menggunakan pendekatan notch untuk capai paparan berbingkai nipis, Samsung akhirnya akur itu adalah jalan ke masa depan.
Galaxy S10+ dengan Infinity-O
3. Teknologi Bateri Yang Ditambah Baik
Tiga model Galaxy S10 yang diumumkan miliki bateri dalam julat kapasiti 3,100mAh hingga 4,100mAh. Galaxy S10+ miliki bateri terbesar dalam kalangan siri S setakat ini. Baki dua lagi Galaxy S10 dan S10e masing-masing ada bateri 3,400mAh dan 3,100mAh.
Pengecasan wayarles generasi baru yang lebih pantas
Lebih menarik, ia menyokong Fast Wireless Charging 2.0 untuk mengepam masuk tenaga kedalam bateri dengan pantas. Selain itu, ada juga ciri Wireless PowerShare yang bolehkan sebarang gajet yang menyokong piawaian wayarles Qi mengambil bateri dari Galaxy S10.
Wireless PowerShare jadikan telefon anda pad pengecas
4. Kemampuan Pengimejan Yang Lebih Luas.
Galaxy S10 dan 10+ kini menggunakan konfigurasi trikamera, pertama dalam siri itu. Kamera ketiga telefon ini ada kanta bersudut pandang luas untuk berikan lebih perspektif kepada gambar anda. Galaxy S10+ dan S10 miliki konfigurasi kamera belakang yang sama iaitu:
- Kamera 1: telefoto 12MP F2.4 OIS
- Kamera 2: sudut lebar 12MP F1.5/F2.4 OIS
- Kamera 3: sudut super lebar 16MP F2.2
Kamera-kamera yang ada pada Samsung S10 ada jarak fokal yang berbeza, ada yang dikhaskan untuk telefoto dan ada juga untuk sudut pandang superluas. Hasilnya, ruang kekreatifan anda menjadi semakin luas dengan hadirnya konfigurasi trikamera ini.
Kamera telefoto
Selain itu, mode Bright Night juga pertama kalinya hadir dalam produk Samsung. Ia dikatakan dibangunkan untuk bersaing dengan night mode yang sedia hebat dalam telefon seperti Google Pixel dan Huawei P ataupun Mate.
5. Galaxy S10e Diberikan Tanda Harga Amat Kompetetif
Selepas Galaxy S7 (2016), tiada lagi Galaxy S yang dijual pada harga kurang daripada RM3,000.
Galaxy S7 edge dilancarkan dengan harga RM3,099
Hal ini mewujudkan satu lompong dalam penawaran Samsung kerana mereka tiada wakil untuk kategori harga RM2,000 hingga RM3,000. Maka, jenama pesaing bebas menguasai bahagian ini dengan nama-nama seperti Nova 4, HONOR View20, Huawei Mate 20, OnePlus 6T dan sebagainya.
Galaxy S10e (depan)
Galaxy S10e dalam warna kuning kenari
Kehadiran Galaxy S10e membawakan tanda harga RM2,699 memberi harapan baru pada peminatnya yang terpaksa melupakan hasrat menggunakan Galaxy S selepas ia memecah tembok RM3.000 dulu. Ini adalah senarai penuh harga keluarga Galaxy S10 untuk pasaran Malaysia:
- Samsung Galaxy S10e (128GB) — RM2,699
- Samsung Galaxy S10 (128GB) — RM3,299
- Samsung Galaxy S10+ (128GB) — RM3,699
- Samsung Galaxy S10+ (512GB) — RM4,599