Pengedar rasmi jenama Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM), baru-baru ini telah menyerahkan dua unit Nissan Kicks e-Power kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian. Kedua-dua unit ini akan digunakan untuk menilai keupayaan SUV hibrid subkompak tersebut dari segi prestasi, kepraktikalan, serta kesesuaian dalam operasi barisan hadapan
Menurut ETCM, ujian Proof of Concept (PoC) ini akan berlangsung selama 2 bulan. Tidaklah pasti sama ada tempoh tersebut cukup untuk PDRM benar-benar mengenali kenderaan hibrid ini dengan mendalam, namun ia tetap menarik untuk diperhatikan memandangkan PDRM secara umumnya masih belum beralih ke arah penggunaan kenderaan elektrik.
Walaupun Kicks e-Power bukan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), ia menggunakan sistem e-Power yang memberikan pengalaman pemanduan hampir sama seperti EV, dengan tork sertamerta dan pecutan yang lancar. Nissan Kicks e-Power kini tersedia di Malaysia dengan harga permulaan RM113,800, walaupun ETCM ketika ini sedang menawarkan rebat tunai besar-besaran sebanyak RM22,000 untuk kenderaan tersebut.

Selain Kicks, ETCM turut mempunyai Nissan Serena C28 e-Power sebagai sebahagian daripada tawaran e-Power mereka buat masa ini. Sempena KLIMS 2026, syarikat turut mendedahkan bahawa Nissan X-Trail e-Power dengan sistem pacuan semua roda e-4orce akan turut dilancarkan secara tempatan pada suku keempat tahun ini.
Spesifikasi ringkas Nissan Kicks e-Power Malaysia

Dilancarkan di Malaysia sempena KL International Mobility Show (KLIMS) 2024, Nissan Kicks e-Power dilengkapi enjin petrol 3-silinder 1.2L yang berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri litium-ion 2.06kWh miliknya. Berbeza daripada kenderaan hibrid konvensional, SUV ini sebenarnya 100% dipacu oleh motor elektriknya, yang menghasilkan kuasa 95kW (127hp) serta tork 280Nm.
Dengan kuasa itu, Kicks e-Power mampu mencapai pecutan 0-100km/j dalam masa 9.5 saat, dengan kelajuan maksimum 180km/j. Ia turut dilengkapi mod e-Pedal, yang menawarkan pengalaman memandu satu-pedal.

Menurut Nissan, Kicks e-Power ini mampu memberikan penjimatan minyak yang besar, dengan kecekapan bahan api yang agak mengagumkan pada kadar 21.7km bagi setiap liter, berdasarkan kitaran NEDC. Syarikat turut mendakwa Kicks e-Power mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 900km melalui tangki minyak berkapasiti 41 liter.
Tambahan pula, sistem e-Power ini turut menawarkan pelepasan ekzos yang lebih rendah sebanyak 20%, serta kos operasi yang lebih rendah berbanding kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman tradisional.
Kedua-dua varian Nissan Kicks e-Power dilengkapi 7 beg udara, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), Hill Start Assist (HSA), Intelligent Driver Alertness (IDA), serta Cruise Control. Turut disertakan sebagai piawai ialah skrin infotainment 8 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio 6 pembesar suara, serta 3 slot port USB.

Bagi varian tertinggi, VLT, ia turut menawarkan ciri bantuan pemandu dan keselamatan tambahan seperti cermin pandang belakang dengan monitor terbina, kamera 360-darjah bersama Intelligent Moving Object Detection, Intelligent Cruise Control, Amaran Titik Buta (Blind Spot Warning), serta Rear Cross Traffic Alert. Terdapat juga pilihan warna luaran dwi-tona (dual-tone) dengan caj tambahan RM4,000.
[Sumber: Nissan]





