Malaysia mungkin bakal menerima cawangan Apple Store rasmi kedua tidak lama lagi, dan petunjuk awal menunjukkan ia berkemungkinan besar akan bertempat di Putrajaya.
Perkembangan ini timbul selepas Apple mula mengiklankan 22 kekosongan jawatan baharu di laman kerjaya rasminya, dengan semua jawatan tersebut berpangkalan di Putrajaya. Ini merupakan petunjuk kukuh bahawa Apple kini sedang bersedia untuk membuka satu lagi cawangan kedai rasmi mereka di Malaysia.
Apple iklan 22 jawatan runcit di Putrajaya

Berdasarkan senarai yang diterbitkan, Apple kini sedang mencari calon untuk mengisi pelbagai jawatan yang lazimnya diperlukan bagi operasi sebuah Apple Store.
Antara jawatan yang disenaraikan termasuklah Apple Retail Senior Manager, Manager, Technical Expert, Technical Specialist, Pro, Genius, serta jawatan Specialist secara sepenuh masa dan separuh masa.

Bagi anda yang berminat untuk berkhidmat bersama Apple, anda sudah boleh menyemak senarai jawatan ini dan menghantar resume secara dalam talian.
Adakah IOI City Mall lokasi pilihan Apple Store seterusnya?

Walaupun laman kerjaya Apple tidak mendedahkan lokasi tepat, pusat beli-belah IOI City Mall dilihat sebagai antara calon lokasi yang berpotensi.
Sebagai pusat beli-belah terbesar di Malaysia, IOI City Mall mempunyai keluasan ruang sewaan sekitar 2.5 juta kaki persegi selepas pembukaan Fasa 2 pada 2022. Malah, IOI Properties kini sedang membangunkan Fasa 3, yang dijangka menambah lagi kira-kira 1 juta kaki persegi ruang sewaan apabila siap pada tahun 2030.
Dengan saiz dan kepentingannya sebagai hab beli-belah utama di Putrajaya, tidak hairan kalau IOI City Mall menjadi antara calon paling berpotensi untuk menempatkan Apple Store kedua di Malaysia.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa setakat ini Apple mahupun IOI Properties masih belum mengesahkan sebarang rancangan untuk membuka Apple Store di pusat beli-belah tersebut.
Apple mula pengambilan pekerja 18 bulan sebelum Apple The Exchange TRX dibuka

Situasi ini sebenarnya mengingatkan kepada apa yang berlaku sebelum pembukaan Apple The Exchange TRX, iaitu Apple Store rasmi pertama di Malaysia.
Pada Disember 2022, kami pernah mengesan pengiklanan 11 jawatan peruncitan Apple di Malaysia, termasuk Store Leader, Manager, Senior Manager, Market Leader, Genius, Creative, Specialist, dan Technical Specialist. Ketika itu, Apple masih belum mengumumkan sebarang rancangan untuk membuka Apple Store di Malaysia. Namun, jenis jawatan yang ditawarkan memberi bayangan jelas bahawa syarikat itu sedang membuat persiapan ke arah tersebut.

Proses pengambilan pekerja diteruskan sehingga Januari 2023, sebelum Apple The Exchange TRX akhirnya dibuka secara rasmi pada 22 Jun 2024, iaitu kira-kira 18 bulan selepas iklan jawatan pertama dikesan. Apple Store TRX juga menjadi Apple Store rasmi pertama di Malaysia dan kekal sebagai satu-satunya cawangan setakat ini.
Sekiranya Apple mengikut garis masa pengambilan pekerja yang sama untuk cawangan di Putrajaya, kita mungkin perlu menunggu lebih kurang sembilan bulan hingga setahun lebih lagi sebelum dapat melihat kedai kedua ini membuka pintunya secara rasmi.
Apa kelebihan Apple Store rasmi?

Kehadiran Apple Store rasmi bukan sekadar menambah satu lagi lokasi untuk membeli iPhone, iPad atau Mac.
Salah satu kelebihan utamanya ialah pengalaman membeli-belah dan sokongan selepas jualan yang lebih menyeluruh. Pengunjung boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Apple Specialist untuk memilih produk yang sesuai, bantuan menyediakan peranti baharu, serta sokongan teknikal melalui Genius Bar.
Selain itu, Apple Store turut menganjurkan program Today at Apple, iaitu sesi percuma yang merangkumi pelbagai topik seperti fotografi, videografi, seni dan cara memanfaatkan sepenuhnya peranti Apple.
Satu lagi kelebihan ialah polisi pemulangan dan bayaran balik dalam tempoh 14 hari. Produk yang layak dan dibeli terus daripada Apple boleh dipulangkan dalam tempoh tersebut, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Seperti yang pernah kami jelaskan sebelum ini, pembukaan Apple Store baharu tidak bermaksud Apple akan menggantikan rangkaian penjual sah sedia ada di Malaysia. Sebaliknya, ia akan melengkapkan lagi saluran jualan rasmi Apple di samping rangkaian pengedar dan rakan niaga yang sudah beroperasi di seluruh negara.






