Menjelang Hari Kemerdekaan yang bakal tiba pada minggu depan ini, pastinya ramai telah merancang untuk bercuti bersama keluarga ataupun rakan-rakan. Namun sebelum anda bergerak ke destinasi pilihan, AirAsia menitip beberapa pesanan penting untuk penumpang yang bakal melakukan perjalanan sepanjang minggu sambutan Hari Kebangsaan ini dengan menaiki AirAsia.
Untuk anda yang bakal merancang perjalanan udara, AirAsia memaklumkan 26 sehingga 28 Ogos 2026, sekitar jam 11.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari terdapat penutupan ruang udara dalam Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur. Selain tiga tarikh tersebut, ruang udara juga akan ditutup pada 29 dan 31 Ogos 2026, dari jam 8.45 pagi sehingga 9.45 pagi untuk memberi laluan kepada latihan raptai dan pertunjukan lintas udara Hari Kebangsaan Malaysia yang ke – 69 di Putrajaya.
Jadi apa yang perlu anda semua ambil tahu untuk persiapan sebelum berangkat bersama AirAsia? Jom semak senarainya di bawah.
Muat turun aplikasi MOVE
Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah memuat turun aplikasi MOVE AirAsia di Google Play Store, Apple App Store atau Huawei App Gallery, untuk menerima maklumat perjalanan dan juga kemas kini penerbangan terbaru menerusi bahagian ‘Status Penerbangan’ (Flight Status) dalam aplikasi.
Dengan aplikasi AirAsia MOVE, penumpang dapat memuatnaik atau mengambil gambar visa untuk mendapatkan Boarding Pass yang lengkap tanpa perlu beratur panjang. Bukan itu saja, penerbangan di semua lapangan terbang di Malaysia dan lapangan terbang antarabangsa yang dikendalikan oleh AirAsia boleh menggunakan pas elektronik atau e-boarding pass yang terdapat dalam aplikasi MOVE.
Walau bagaimanapun untuk sesetengah lapangan terbang antarabangsa, penumpang masih perlu mencetak pas untuk masuk ke kaunter lapangan terbang bagi tujuan pengesahan.

Tiba 2-3 jam awal sebelum penerbangan
Menerusi maklumat yang dikongsikan AirAsia di laman sesawangnya, syarikat penerbangan ternama ini menitipkan pesan agar penumpang tiba dua jam awal untuk perjalanan domestik manakala tiga jam awal untuk penerbangan antarabangsa bagi memberi masa yang mencukupi untuk menyelesaikan prosedur perjalanan sepanjang waktu puncak ini.
Selain itu, AirAsia turut menyatakan bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Terminal 2. Manakala untuk penerbangan domestik pula, kaunter akan ditutup 45 minit sebelum waktu berlepas.
Cetak tag bagasi di kiosk dan serah bagasi
Selepas daftar masuk penumpang hanya perlu imbas kod QR e-Bording Pass di kiosk lapangan terbang, untuk mencetak tag bagasi dan melakukan serahan bagasi sendiri untuk meletak bagasi. Selain, itu, penumpang juga boleh menambah kuota bagasi sehingga empat jam sebelum waktu berlepas dengan menggunakan aplikasi AirAsia MOVE.

Patuh syarat kemasukan setiap negara yang dilawati
Bagi rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke luar negara menerusi penerbangan AirAsia, perlu mematuhi syarat kemasukan bagi setiap negara yang dilawati atau dilalui sebagai transit dan ini termasuklah keperluan visa. Selain itu, penumpang juga menyemak syarat-syarat keperluan terkini menerusi kedutaan negara yang dilawati kerana syarat-syarat kemasukan boleh berubah dari semasa ke semasa.
Ciri Auto Visa Check (AVC) dalam aplikasi MOVE
Bagi penumpang yang memerlukan visa atau Electronic Travel Authorisation (ETA), penumpang boleh mendapatkan pengesahan dokumen dengan mendaftar masuk secara dalam talian di laman sesawang AirAsia atau menerusi aplikasi MOVE seawal 14 hari dan sehingga satu jam sebelum waktu berlepas.
Selepas pengesahan berjaya, pas e-boarding akan dikeluarkan serta-merta. Jika pengesahan tidak berjaya, penumpang boleh terus ke kaunter daftar masuk di lapangan terbang untuk pemeriksaan dokumen secara manual.
Perkhidmatan kaunter daftar masuk
Sewaktu musim puncak ini, perkhidmatan kaunter daftar masuk hanya tersedia untuk penumpang yang mempunyai masalah pergerakan dan untuk penumpang muda yang melancong secara solo atau bersendirian.
Wanita hamil perlu isi borang
Bagi yang penumpang yang hamil, AirAsia turut menitipkan pesanan penting untuk para ibu mengandung. Bagi wanita hamil perlu mengisi borang di kaunter sebelum menaiki pesawat. Manakala bagi wanita dengan kandungan berusia melebihi 27 minggu, perlu mengemukakan sijil perubatan daripada doktor yang diluluskan.
Tempah bantuan khas di aplikasi MOVE
Untuk mereka yang mengalami masalah pergerakan dan memerlukan khidmat kerusi roda, penumpang boleh membuat tempahan awal semasa membeli tiket penerbangan dalam talian. Penumpang juga boleh membuat tempahan menggunakan aplikasi MOVE di bahagian ‘My Booking’ dan pilih ‘Bantuan Khas’ untuk mendapatkan khidmat kerusi roda.
Menurut AirAsia, tempahan dalam talian boleh dibuat sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berlepas dan empat jam sebelum jika membuat tempahan di kaunter.

Muat turun aplikasi MyNIISe
AirAsia juga menyarankan agar penumpang memuat turun aplikasi MyNIISe di Google Play Store atau Apple App Store supaya perjalanan lebih lancar. Tambahan lagi, pemegang passport Malaysia juga boleh menikmati pelepasan imigresen dengan pantas di KLIA Terminal 2 melalui laluan khas dengan menggunakan kod QR dan pengecaman wajah. Penumpang hanya perlu ikuti arahan yang dinyatakan dalam aplikasi bagi mengimbas maklumat passport.

Pastikan muatan kabin mematuhi ketetapan
Sedang sibuk mengemas pakaian dan barang keperluan dalam bagasi, pastikan bawa saiz bagasi yang ditetapkan. Untuk membawa masuk beg dalam kabin, ini yang perlu anda semak:
- Penumpang dibenarkan membawa satu bagasi atau beg dengan ukuran yang tidak melebihi 56 x 36 x 23 sentimeter (cm)
- Atau satu beg komputer riba atau beg tangan ataupun beg tangan kecil ke dalam kabin
- Pastikan jumlah berat bagi kedua-dua bagasi yang tidak didaftar tidak boleh melebihi 7 kilogram (kg)
Jadi rancang perjalanan anda dengan baik sepanjang tempoh masa yang dinyatakan AirAsia, kemungkinan anda akan mengalami kesesakan lebih tinggi dari biasa di kaunter daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan juga kaunter imigresen pada tarikh dan masa yang dimaklumkan berikutan musim cuti hujung minggu yang panjang.






