Infinix hari memperluaskan barisan telefon pintar bajet siri Smart dengan melancarkan model terbaharu, Infinix Smart 20e. Ia adalah tambahan terbaru dalam siri Smart 20 dan diletakkan di bawah model Smart 20 yang diperkenalkan pada April lalu.
Sambil mengekalkan reka bentuk serupa, model lebih bajet ini tampil dengan beberapa perbezaan spesifikasi dalaman, namun pada tanda harga lebih mahal berbanding Smart 20.
Harga dan ketersediaan Infinix Smart 20e di Malaysia

Infinix Smart 20e akan mula dijual di Malaysia pada 9 Oktober 2026 melalui saluran dalam talian dan fizikal rasmi Infinix. Meskipun sepatutnya menjadi model lebih rendah daripada smart 20, harganya lebih tinggi berbanding harga pelancaran Smart 20.
Berikut ialah harga jualan rasmi Smart 20e di Malaysia:
- Smart 20e (4GB + 64GB) – RM549
- Smart 20e (4GB + 128GB) – RM599
Sebagai perbandingan, Smart 20 dilancarkan di Malaysia pada harga RM399 untuk 4GB + 64GB dan RM449 untuk 4GB + 128GB.
Smart 20e ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu merah gelap, biru, perak dan hitam.
Untuk pembelian dalam talian, Smart 20e boleh didapati melalui Infinix Official Store di Lazada, Shopee dan TikTok Shop, manakala pembelian secara fizikal boleh dibuat di Infinix Brand Stores di seluruh negara.
Spesifikasi Infinix Smart 20e

Infinix Smart 20e adalah sebuah telefon bersaiz 6.75″, menggunakan panel paparan IPS LCD dengan resolusi 720p. Skrin ini turut menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 700 nits. Ia turut dilengkapi ciri Rain-responsive Touch membolehkan skrin kekal responsif apabila digunakan dalam keadaan basah.
Dari segi ketahanan, Smart 20e mempunyai penarafan IP64 untuk perlindungan daripada habuk dan percikan air. Infinix turut menyatakan telefon ini mempunyai struktur yang diperkukuh dan telah melalui ujian ketahanan hentakan berdasarkan MIL-STD-810H, serta tahan jatuh dari ketinggian 1.5 meter.
Atas papan utama, Smart 20e dikuasakan cip Unisoc T7250, berbeza daripada Smart 20 yang menggunakan MediaTek Helio G81. Cip ini dipadankan dengan RAM 4GB dan storan dalaman sehingga 128GB. Slot kad microSD turut disediakan untuk menambah storan sehingga 2TB.
Sistem kamera Smart 20e agak ringkas, terdiri daripada kamera utama 8MP dan kamera hadapan 5MP.

Untuk tenaga, kapasiti bateri Smart 20e ialah 5,000mAh, sedikit lebih kecil daripada 5,200mAh pada Smart 20. Telefon ini dilengkapi ciri Battery Self-Healing yang menurut Infinix membantu memperlahankan penuaan dan mengekalkan kesihatan bateri dalam jangka panjang. Ciri ini dikatakan berfungsi dengan menggunakan arus berintensiti rendah untuk menangani perubahan mikroskopik pada bateri akibat kitaran cas dan nyahcas berulang. Pengecasan disokong pada kuasa 10W.
Telefon ini menggunakan speaker mono dengan sokongan kelantangan sehingga 200%. Ciri sambungannya termasuk Bluetooth 5.2, WiFi 5, rangkaian 4.5G dan NFC. Ciri Flash Sharing membolehkan pemindahan fail dengan mengetuk bahagian belakang telefon lain.
Dari segi perisian, Smart 20e menjalankan XOS 16.3 berasaskan Android 16 sebaik sahaja dikeluarkan dari kotak.






