Siri jam pintar Huawei seterusnya, siri Huawei Watch 6 bakal tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi iaitu pada 3 November 2026. Berbeza dengan generasi Watch 5 terdahulu, Huawei kali ini kembali menawarkan dua pilihan model iaitu Huawei Watch 6 dan Huawei Watch 6 Pro, mengembalikan semula model Pro ke dalam barisan utamanya selepas kali terakhir ditawarkan pada siri Watch 4.
Kedua-dua model ini telah diperkenalkan di pasaran global pada September lalu dengan reka bentuk baharu, selain membawakan ciri pemantauan kesihatan dan kecergasan yang dipertingkat. Antara tarikan utamanya ialah kehadiran sensor X-TAP yang menyokong ciri Health Glance, termasuk penilaian awal risiko hipertensi serta diabetes.
Dalam masa yang sama, Huawei Malaysia telah membuka tempahan awal untuk siri Huawei Watch 6 di Malaysia.
Tempahan siri Huawei Watch 6 di Malaysia

Walaupun tanda harga rasminya masih belum didedahkan, Huawei Malaysia sudah mula membuka tempahan awal untuk kedua-dua model Watch 6 dan Watch 6 Pro menerusi stor online Huawei Malaysia.
Pembeli yang berminat boleh membuat tempahan dari sekarang sehingga 3 November, dengan membayar deposit sebanyak RM50. Baki pula perlu dijelaskan di antara 3 November hingga 15 November.


Bagi pembeli awal Huawei Watch 6, anda layak menerima pelbagai ganjaran percuma bernilai sehingga RM674, merangkumi:
- Fon putik nirwayar Huawei FreeBuds SE 2 (bernilai RM199)
- Langganan 3 bulan Huawei Health+ (bernilai RM43.90)
- Jaminan 1 tahun APAC & 1 tahun perlindungan Huawei Care (bernilai RM579)
- Keahlian percuma 1 bulan untuk muka jam (watch face)
Bagi pembeli awal Huawei Watch 6 Pro pula, anda akan menerima kesemua ganjaran di atas berserta tambahan tali jam EasyFit Strap (bernilai RM149), menjadikan nilai keseluruhan hadiah RM993.
Bukan itu sahaja, mereka yang membuat tempahan awal turut diberi tawaran pembelian dengan pembelian (PWP) untuk mendapatkan fon putik baharu FreeBuds SE 5 Max pada harga promosi RM88 (harga asal RM249).
Spesifikasi Huawei Watch 6 Pro

Huawei Watch 6 Pro ditawarkan dalam dua pilihan saiz, iaitu 43mm dan 46mm. Model 43mm Ceramic Edition menggunakan badan diperbuat daripada seramik nano-teknologi bersama tali seramik putih, manakala model 46mm Space Edition dibina menggunakan kerangka aloi titanium gred aeroangkasa berwarna hitam serta tali titanium. Muka jam berbentuk bulat turut dilindungi kaca sapphire.
Kedua-dua varian menggunakan paparan LTPO 2.0 AMOLED dengan resolusi 466 x 466 piksel dan kecerahan puncak mencecah 3,500 nits, bersaiz 1.5 inci bagi versi 46mm dan 1.38 inci bagi versi 43mm. Kawalan fizikal dikendalikan menerusi tombol berputar serta butang sisi.


Huawei memperkenalkan sensor X-TAP baharu yang menggabungkan sensor PPG 12 saluran dengan sensor tekanan yang responsif untuk memberikan bacaan kesihatan yang lebih tepat. Melalui Health Glance, pengguna hanya perlu tekan lama sensor X-Tap selama tiga saat dan jam akan memberikan laporan kesihatan dalam tempoh 60 saat. Laporan ini merangkumi sehingga 13 metrik, termasuk kajian risiko hipertensi dan penyakit kardiovaskular menerusi pemantauan 24 jam, serta kajian risiko diabetes berasaskan penjejakan tanda vital selama 3 hingga 14 hari.
Watch 6 Pro juga menawarkan analisis senaman berasaskan AI dan ciri Physical Readiness untuk menilai tahap kesediaan fizikal selepas pengguna bangun tidur untuk bantu pengguna merancang aktiviti harian.
Untuk aktiviti luar, Huawei Watch 6 Pro menyokong GPS dwijalur L1 + L5 serta pelbagai mod sukan, termasuk golf, berbasikal, menyelam dan larian denai. Ia turut memperkenalkan mod Expedition yang membolehkan pengguna memuatkan laluan lebih awal, menggunakan navigasi titik laluan (waypoint) dan ciri smart backtracking untuk membantu mencari jalan pulang.

Hayat bateri model 46mm dikatakan boleh bertahan sehingga 4.5 hari, atau sehingga 11 hari dalam mod jimat bateri. Model 43mm pula bertahan sehingga 3 hari penggunaan biasa dan sehingga 11 hari dalam mod jimat bateri. Pengecasan 15 minit didakwa mencukupi untuk kegunaan sepanjang hari.
Jam ini juga menyokong sambungan eSIM, Safety Check untuk berkongsi lokasi dan status dengan kenalan terpilih, kawalan melalui gerak isyarat tangan, NFC serta sambungan kepada dua telefon serentak. Ia juga mempunyai penarafan kalis air IP69 dan 5ATM serta menyokong aktiviti menyelam sehingga kedalaman 40 meter.
Spesifikasi Huawei Watch 6

Varian standard Huawei Watch 6 mengekalkan sebahagian besar spesifikasi dalaman yang sama dengan model Pro, termasuk kehadiran sensor X-TAP, pemantauan 13 metrik kesihatan, penilaian risiko hipertensi dan diabetes, keupayaan eSIM, dan kalis air 5 ATM serta IP69.
Perbezaan ketara terletak pada reka bentuk dan bahan binaan. Model 42mm menggunakan kerangka aloi aluminium dengan berat sekitar 38 gram dalam warna emas, manakala varian 46mm menggunakan kerangka keluli tahan karat seberat 60 gram dalam warna biru atau hitam.

Paparannya menggunakan panel LTPO 2.0 AMOLED dengan resolusi serupa, namun dihadkan pada kecerahan puncak 3,000 nits berbanding 3,500 nits pada versi Pro. Prestasi bateri bagi kedua-dua varian saiz standard ini kekal sama seperti model Pro, iaitu sehingga 4.5 hari bagi saiz 46mm dan sehingga 3 hari bagi saiz 42mm dalam mod penggunaan biasa.
Untuk maklumat lanjut tentang spesifikasi, layari laman produk Huawei Watch 6 dan Watch 6 Pro.






