Sedang Samsung sedang berusaha untuk membawakan telefon pintar dengan skrin boleh lipat mereka, Galaxy Fold ke pasaran, semakin kuat pula kedengaran tentang peranti dengan ciri-ciri yang sama dari Motorola. Telefon dengan skrin boleh lipat keluaran Motorola ini dijangka akan dilancarkan sekitar tahun ini juga.
Dalam satu berita terbaru, PhoneArena melaporkan mereka telah menerima beberapa gambaran tentang Motorola Razr dengan skrin boleh lipat. Motorola Razr menampilkan skrin boleh lipat yang berbeza dari Galaxy Fold dan Huawei Mate X.
Sementara peranti lain cuba berubah dari telefon pintar ke tablet, Motorola Razr mengekalkan konsep sebenar telefon lipat. Apabila dibuka, ia seperti telefon pintar biasa. Tetapi skrin tersebut boleh dilipat dua menjadi lebih kecil dan mudah disimpan.
Skrin Motorola Razr ini sepanjang 6.2-inci dalam nisbah 22:9. Dari gambaran, skrin ini memiliki takuk di atas yang memuatkan pembesar suara panggilan.
Di bawah skrin pula, kelihatan bonjol besar yang sama seperti telefon lama RAZR V3. Ia mungkin menjadi perumah kepada bateri.
Motorola Razr dijangka turut memiliki skrin kedua yang lebih kecil di luar, walaupun tidak kelihatan di gambar. Skrin ini memiliki resolusi 600×800 yang memaparkan notifikasi dan widget.
Menurut PhoneArena, telefon ini tidak memiliki kamera di dalam. Bermakna, menangkap gambar swafoto perlu menggunakan kamera di luar, dan previu dibantu oleh skrin kedua.
Dari maklumat yang diterima oleh XDA-Developers, Motorola Razr ini akan dikuasakan oleh cip Snapdragon 710, bersama RAM 4GB atau 6GB. Bateri pula dikatakan sangat kecil, hanya 2,730mAh tetapi ia menyokong pengecasan pantas Motorola TurboPower 27W.
Dapat dilihat dari isi kotak Motorola Razr ini, terdapat dok pengecas khas dan adaptor 3.5mm ke USB-C. Bermakna, tiada jek audio 3.5mm padanya.
Khabar angin sebelum ini melaporkan telefon dengan skrin boleh lipat Motorola Razr ini akan dijual pada harga USD1,500 atau sekitar RM6,200.
[Sumber: PhoneArena]