Google hari ini mengumumkan dua buah telefon baru dalam keluarga Pixel dan ia dinamakan Pixel 3a dan Pixel 3a XL. Meneliti helaian spesifikasi produk ini, jelas ia diletakkan Google dalam kategori kelas pertengahan, dibawah Google Pixel 3 asal.
Perbezaan paling ketara Pixel 3a dengan Pixel 3 adalah pada kualiti binaan. Untuk menawarkan pengalaman Pixel dalam versi bajet, mereka menggunakan polikarbonat sebagai badannya.
Kedua-dua Pixel 3a dan Pixel 3a XL miliki spesifikasi yang hampir serupa. Misalnya, kedua-dua mereka diperkasa SoC Snapdraogn 670 bersama-sama RAM 4GB serta storan 64GB. Seperti biasa, tiada slot untuk memasukkan kad mikro-SD hatta daripada jenis hibrid sekalipun.
Di bahagian pengimejan, mereka diberikan ekakamera belakang 12.2MP yang menggunakan sensor IMX363. Penstabil imej optikal hadir bersama-sama dengan penstabil imej elektronik. Di depan pula, ada kamera 8MP.
Sungguhpun kedua-duanya menggunakan paparan OLED, saiz paparan varian biasa dengan XL sedikit berbeza dan nisbah paparan juga begitu. Versi yang lebih kecil ada penal 5.6″ beresolusi HD Penuh+ pada nisbah 18.5:9. Sebaliknya yang lebih besar miliki nisbah 18:9 dengan pada panel sebesar 6.0″.
Uniknya, produk Pixel masih bebas notch dan ada jek audio 3.5mm.
Pixel 3a XL ada bateri yang lebih besar 3,700mAh berbanding 3,000Ah yang ada pada Pixel 3a. Namun, kedua-duanya boleh dicas pantas sehingga 18W tetapi fungsi pengecasan wayarles tidak pula hadir.
Google Pixel 3a dan 3a XL dijual pada harga masing-masing USD 399 (RM1,655) dan USD 479 (RM1987). Apa pendapat anda dengan telefon bajet Google ini, adakah ia mampu milik seperti yang Google harapkan?