PlayerUnknown’s Battlegrounds atau lebih dikenali sebagai PUBG, kini telah difatwakan haram dimainkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) Acheh. Ia diharamkan kerana dilihat menghina Islam dan menyebabkan ketagihan kepada pemain.
Langkah ini bukanlah perkara baru. Ini kerana PUBG telah diharamkan di beberapa buah daerah di Gujerat, India pada bulan Mac lepas. Ia diikuti oleh Nepal pada April, yang mengharamkan PUBG di seluruh negara. Kerajaan Iraq pula mengumumkan pengharaman beberapa permainan ganas pada bulan Mei, dan salah satu darinya ialah PUBG.
Alasan kesemua mereka dilihat hampir serupa, ia mengakibatkan ketagihan dan mengandungi unsur keganasan terlampau. Malah di negara kelahiran PUBG, China sendiri telah menghentikan permainan PUBG.
Menurut pembangunnya Tencent, mereka telah menghasilkan tajuk permainan baru, Game for Peace, untuk menggantikan PUBG Mobile. Ia masih memiliki mod permainan ala Hunger Games tetapi lebih mesra kanak-kanak kerana unsur keganasan telah dikurangkan. Misalnya, tiada lagi animasi darah dan pengguna yang mati, mengucapkan selamat tinggal dan memberi kotak hadiah.
Di Acheh, fatwa yang dikeluarkan ini bukanlah perlaksanaan undang-undang, bermakna orang ramai boleh menerimanya sebaga nasihat. Tetapi di Gujerat, India dan Nepal, ia telah dikuatkuasakan sebagai undang-undang dan beberapa orang telah dikenakan hukuman.
PUBG adalah permainan mudah alih yang sangat popular, terutama di Asia. Pada tahun 2018 sahaja, terdapat 400 juga pemain aktif di seluruh dunia. Ia menggunakan konsep seperti filem Hunger Games, pemain turun di satu kawasan dan mencari senjata. Kemudian membunuh orang lain untuk menjadi orang terakhir yang hidup.
Konsep keganasan di dalam games bukanlah perkara baru. Ia telah digunakan sejak dulu kala lagi. Di Malaysia contohnya, jarang kedengaran jenayah berlau akibat pengaruh bermain games. Malah dengan populariti PUBG, dapat dilihat remaja dan kanak-kanak berkumpul untuk sama-sama bermain games bersama rakan, memandangkan permainan ini turut mementingkan kerjasama.
Pada akhirnya, kawalan kendiri dan panduan ibubapa serta masyarakat yang membentuk peribadi seseorang kanak-kanak. Ketagihan muncul dalam semua perkara, termasuk makan dan minum dan ia perlu dikawal oleh ibubapa supaya tidak memudaratkan.
Apa pula pendapat anda? Adakah pengharaman terus bermain games lebih baik atau anda ada cadangan lain? Kongsikan dengan kami di ruangan komen di bawah.