Pakar keselamatan siber antarabangsa, Kaspersky baru-baru ini telah membuka Pusat Ketelusan pertama mereka di Asia, terletak di Cyberjaya, Malaysia. Ia dijayakan dengan kerjasama dari Cybersecurity Malaysia, agensi pakar keselamatan kebangsaan Malaysia.
Pusat Ketelusan ini merupakan pusat ketiga yang dibuka Kaspersky, selepas Zurich di Switzerland dan Madrid di Sepanyol. Ia berfungsi sebagai kemudahan bagi syarikat rakan serta pemegang taruh kerajaan, untuk datang dan menyemak kod sumber produk penyelesaian dari Kaspersky. Tempat ini juga digunakan sebagai pusat penerangan untuk tetamu di mana mereka boleh mempelajari tentang kejuruteraan dan amalan pemprosesan data Kaspersky.
Pelanggan perniagaan serta pembuat dasar kerajaan boleh memohon untuk menyemak dan mengkaji penyelesaian dan perkhidmatan Kaspersky seperti analisa ancaman, semakan keselamatan dan proses ujian keselamatan aplikasi. Mereka juga boleh menyemak kod sumber penyelesaian pengguna dan perniagaan Kaspersky, seperti Kaspersky Internet Security (KIS); Kaspersky Endpoint Security (KES) dan Kaspersky Security Center (KSC).
Selain itu, semua versi pembangunan aplikasi Kaspersky serta kemaskini pengkalan data AV, termasuk maklumat berkenaan penyaluran data dari produk Kaspersky ke sistem awan Kaspersky Security Network (KSN), boleh disemak oleh mereka yang memerlukan. Maklumat lanjut tentang Pusat Ketelusan ini boleh dilayari di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kaspersky, Eugene Kaspersky berkata, “Pembukaan pusat ketelusan ketiga Kaspersky di Kuala Lumpur, membuktikan keterbukaan Kaspersky untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai terhadap produk Kaspersky dalam memastikan perlindungan keselamatan siber di tahap tertinggi. Ia juga bukti Inisiatif Ketelusan Antarabangsa kami di landasan yang tepat.”
CEO Cybersecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab pula berkata, “Lanskap ancaman di Malaysia terus berkembang dan kami percaya, kerjasama pihak swasta seperti Kaspersky dan agensi kerajaan untuk membina kepercayaan adalah penting. Kesediaan Kaspersky untuk membuka pintu kepada proses keselamatan mereka menunjukkan tiada apa yang mahu disembunyikan. Kami berharap agar kerjasama ini akan menjadi contoh kepada lebih banyak kerajaan dan pihak swasta bagi melaksanakan ketelusan dan keadilan sebagai manfaat kepada masyarakat dan industri keselamatan siber.”
Pusat Ketelusan Kaspersky ini merupakan sebahagian dari Inisiatif Ketelusan Antarabangsa yang diilhamkan oleh Kaspersky, mensasarkan untuk menangani permintaan dari rakan dan kerajaan yang kian meningkat untuk mengetahui bagaimana produk dan teknologi berfungsi. Pusat Ketelusan ini akan dibuka untuk lawatan pada awal tahun 2020.
Sejak diumumkan pada Oktober 2017, Inisiatif Ketelusan Antarabangsa Kaspersky telah mencapai tahap berikut:
- Memindahkan storan data dan infrastruktur pemprosesan bagi pengguna Eropah dari Rusia ke Zurich, Switzerland, dijangka selesai pada akhir tahun 2019
- Membuka 2 Pusat Ketelusan di Eropah, Zurich (November 2018) dan Madrid (Jun 2019).
- Membangunkan Program Memburu Pepijat, telah menyelesaikan 66 laporan pepijat dan memberi ganjaran hampir USD45,000.
Untuk mengetahu lebih lanjut tentang inisiatif ini, layari laman Global Transparency Initiative.