ASUS ROG Phone 2 ialah sebuah telefon gaming berkuasa tinggi. Jika harganya di luar bajet anda, satu pilihan lain yang hampir ialah Black Shark 2 Pro. Ia memiliki kuasa pemproses yang sama, Snapdragon 855+ yang paling berkuasa di pasaran masakini.
Majlis pelancaran Black Shark 2 Pro telah diketahui, akan diadakan pada 3 September 2019. Tetapi tarikh penjualannya dikhabarkan akan bermula pada 10 September 2019. Perkara ini diberitahu oleh salah satu penjual telefon pintar, DirectD.
DirectD telah membuka tempahan awal Black Shark 2 Pro di laman web mereka. Terdapat 2 variasi untuk set rasmi Malaysia akan dijual, RAM 8GB dan storan 128GB atau RAM 12GB dan storan 256GB. Harga untuk telefon ini akan disahkan pada majlis pelancarannya pada 3 September.
Tempahan awal di DirectD ini dinyatakan dijangka tiba pada 10 September 2019. Bagaimanapun, terdapat dua warna akan tersedia pada tarikh ini iaitu Black Bolt dan Freezing Blade. Manakala warna Racing akan boleh dibeli pada hujung bulan September.
Kepada yang berminat untuk menjadi yang terawal menerima berita tentang set rasmi Black Shark 2 Pro ini, boleh mendaftar di laman web DirectD.
Selain dikemaskini dengan pemproses terbaru, Black Shark 2 Pro dinaik taraf dengan penggunaan storan UFS 3.0 yang lebih pantas. Skrinnya berukuran 6.39-inci HD Penuh+, tanpa lubang dan takuk.
Di belakang, ia menggunakan kombinasi kamera 48MP dan 12MP. Di hadapan pula, ia dilengkapi kamera 20MP. Bateri di dalamnya sebesar 4,000mAh dan ia menyokong pengecasan patas 27W melalui USB-C. Telefon ini tiada lagi jek audio 3.5mm maka fon kepala wayarles perlu digunakan.
Pelancaran rasmi Black Shark 2 Pro di Malaysia telah dijadualkan pada 3 September 2019. Untuk perbandingan, ia telah dijual di China pada harga RMB2,999 (~RM1,771) dengan RAM 12GB dan storan 128GB, manakala storan 256GB pula berharga RMB3,499 (~RM2,067).
Jika mahu memilikinya sekarang, set import telah dijual di Malaysia dengan harga RM2,298 untuk storan 128GB dan RM2,598 bagi storan 256GB.
Sumber: DirectD