Pada bulan Mei lepas, syarikat induk untuk Digi iaitu Telenor, serta syarikat induk Celcom iaitu Axiata, telah mengumumkan akan membentuk satu entiti global dengan menggabungkan operasi Axiata dan Telenor di Asia. Penggabungan ini dijangka akan diselesaikan dalam masa tiga bulan selepas ia diumumkan.
Selepas tiga bulan, khabar angin telah bertiup mengatakan cadangan penggabungan ini tidak akan diteruskan.
The Edge melaporkan, mereka mendapatkan maklumat dari sekurang-kurangnya tiga sumber yang mengesahkan perkara ini. Terlalu banyak isu timbul yang menjadikan penggabungan ini sangat sukar untuk direalisasikan.
Semasa pengumumannya tiga bulan lepas, tinjauan awal mendapati Telenor akan menjadi pemegang saham majoriti dengan 56.5% pegangan manakala Axiata akan memiliki 43.5% pegangan. Ini adalah pemegangan awal yang mencerminkan penilaian aset relatif tertakluk kepada pelarasan.
Sumber menyatakan, Axiata meminta nilai ekuiti yang sama rata apabila bergabung dan mahu kedudukan di mana Axiata menjadi pemandu syarikat. Jika dilihat dari pegangan saham, Telenor akan melantik CEO dari kalangan mereka dan wakil Axiata sebagai Pengerusi syarikat gabungan.
Selain itu, Telenor dikhabarkan mahu membawa ibu pejabat syarikat gabungan ke Singapura, tidak mengekalkannya di Kuala Lumpur. Sebagai syarikat kebangsaan, Axiata sudah pasti mahu beribu pejabat di negara sendiri. Tetapi ia agak mustahil untuk dikekalkan jika Axiata bukan peneraju syarikat gabungan kelak.
Masalah lebih besar lagi ialah tentang pekerjaan. Syarikat yang bergabung akan memiliki pekerja bertindih untuk jawatan yang sama. Sekali lagi, sumber menyatakan Telenor sebagai pemandu syarikat akan membuang pekerja yang berasal dari Axiata. Ini akan memberi imej yang tidak baik pada kerajaan Malaysia.
Laporan tahunan Axiata menyebut, syarikat memiliki sebanyak 12,000 pekerja. Tetapi semakan dalam talian dan juga dari Bloomberg mencatatkan mereka memiliki pekerja sebanyak 25,000 orang. Maxis dan Digi pula hanya memiliki 1/4 pekerja dari jumlah itu. Jumlah pekerja Axiata yang banyak ini kerana mereka memiliki operasi di beberapa negara luar seperti nepal, Sri Lanka, Indonesia dan Kemboja. Digi pula, memiliki operasi di Myanmar, Pakistan, Thailand dan Bangladesh.
Dalam satu sumber lain, ia mengaitkannya dengan tekanan politik. Di Indonesia, Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Rudiantara memberi petunjuk, beliau tidak gembira dengan gabungan Telenor dan Axiata ini. Axiata beroperasi di Indonesia menerusi PT XL Axiata di mana mereka memiliki 66.4% pegangan.
Rasa tidak senang Rudiantara berasal dari laporan Kesatuan Eropah yang meluluskan undang-undang untuk menghalang penggunaan minyak sawit di biofuel pada tahun 2030. Beliau tidak suka kerana Telenor berasal dari Norway yang terletak di Eropah. Tetapi Norway sebenarnya bukanlah ahli Kesatuan Eropah, jadi mereka tidak tertakluk pada undang-undang tersebut.
Pada pandangan kami sendiri, kerajaan harus campur tangan di dalam gabungan ini untuk memastikan kepentingan negara tidak diabaikan. Apatah lagi jika membiarkan syarikat gergasi terbentuk dan menjadi monopoli, ini akan mengurangkan persaingan dan tidak sihat untuk pengguna.
Kerajaan harus mengambil iktibar apabila Uber meninggalkan pasaran Malaysia dan membiarkan Grab menjadi pemain dominan, ia mengakibatkan pemain baru sukar mendapat tempat sekaligus mengurangkan pilihan untuk pengguna.
Sumber: The Edge