Pengguna pascabayar Celcom Mobile yang kecewa kerana kuota 100GB Video Walla percuma ditamatkan, boleh mula bersorak gembira kerana Celcom nampaknya kembali memberikannya semula. Sebelum ini, 100GB Video Walla diberikan percuma untuk pelanggan Celcom Mobile Gold Plus dan ke atas.
Perkara ini diketahui apabila SMS yang menyatakan tentangnya diterima oleh pengguna Celcom hari ini. Bagaimanapun, ia tidak diberikan percuma selamanya. Tetapi hanya percuma sehingga 31 Disember 2019 sahaja. Tidak pula dinyatakan apa yang terjadi selepas itu.
Pengguna Celcom boleh menyemak baki kuota data mereka menerusi aplikasi Celcom Life. Selain data sepanjang masa dan data hujung minggu, data Video Walla kembali dimasukkan jika anda layak menerimanya.
Sebelum ini, ramai pengguna Celcom menerima SMS yang menyatakan Video Walla 100GB mereka akan tamat pada 31 Oktober 2019. Sebenarnya ia diberikan kepada pengguna pascbayar Celcom Mobile untuk tempoh 12 bulan sahaja, tetapi ramai yang dapat terus menikmatinya selepas tamat 12 bulan.
Ia menjadi masalah apabila Celcom didapati membuang perkataan 12 bulan percuma di laman utama, dan menyorokkan tentang perkara tersebut jauh di dalam ruangan soalan lazim FAQ. Kerana itu, ramai juga yang tidak sedar bahawa Video Walla 100GB diberi percuma selama 12 bulan sahaja, bukan selamanya.
Langkah Celcom ini mungkin satu cara untuk meredakan kemarahan pengguna yang merasakan cara Celcom mempamerkan produk mereka secara tersembunyi adalah tidak adil. Apakah ada langkah lain yang akan Celcom ambil menjelang 1 Januari 2020 nanti? Harapnya ia tidak lagi menimbulkan kemarahan pengguna.