Lambakan eWallet di Malaysia membuatkan beberapa kekusutan untuk pengguna dan peniaga. Ini kerana setiap eWallet memerlukan kod QR tersendiri. Jika satu kedai mahu menyokong 5 eWallet berbeza, mereka memerlukan 5 kod QR yang berlainan.
Tetapi perkara itu akan menemui titik penyelesaian. Satu kod QR universal yang boleh digunakan oleh peniaga untuk menyokong semua bentuk pembayaran akan diperkenalkan oleh DuitNow, melalui DuitNow QR.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru sahaja melancarkan Ekosistem Tanpa Tunai di Cyberjaya, sebuah kerjasama antara Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dan afiliasi Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). Ia akan menguruskan DuitNow QR, yang membolehkan pengguna membuat pembayaran dari mana-mana bank dan eWallet yang menyertai. Untuk peniaga pula, mereka hanya perlu mempamerkan DuitNow QR untuk menerima pembayaran.
Menurut Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim, usaha mereka untuk menjadikan Cyberjaya bandar tanpa tunai telah bermula sejak dua tahun lalu. Mereka mensasarkan untuk membolehkan lebih 80% peniaga menerima sekurang-kurangnya satu bentuk pembayaran tanpa tunai. Usaha ini telah menghasilkan Bazaar Ramadhan tanpa tunai antara terawal di Malaysia. Sehingga Disember 2018, sebanyak 51% peniaga di Cyberjaya mengaktifkan pembayaran tanpa tunai.
Buat masa ini, DuitNow QR telah diintegrasikan ke dalam 9 bank iaitu Public Bank, Public Islamic Bank, Ambank, Ambank Islamic, Bank Muamalat, RHB Bank, RHB Islamic Bank, dan and HSBC Amanah. 23 lagi bank dan 4 penyedia eWallet utama dijangka akan menggunakan DuitNow QR dalam masa 6 bulan akan datang.
Grab adalah penyedia eWallet pertama yang mengumumkan sokongan terhadap DuitNow QR dan penyedia perkhidmatan pembayaran digital lain yang akan turut serta ialah BigPay, FavePay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
Standard QR Kebangsaan DuitNow ditubuhkan di bawah Bank Negara Malaysia Interoperable Credit Transfer Framework (ICTF). Sistem ini agak serupa dengan SGQR di Singapura yang diperkenalkan tahun lepas.
Selain memudahkan pembayaran QR, PayNet juga membolehkan peniaga untuk menggunakan telefon pintar yang memiliki NFC untuk menerima pembayaran kad MyDebit. Melalui Platform Pembayaran Runcit (RPP) masa-nyata, peniaga akan boleh mendapatkan bayaran dengan memulakan Permintaan-untuk-Bayar kepada pelanggan. Ia dijangka akan diperkenalkan pada tarikh kemudian tahun ini.
Sumber: SoyaCincau