Apakah jam pintar boleh membantu anda mengesan penyakit dalam badan anda? Perkara ini ditemui oleh seorang pemilik restoran yang juga arkitek bebas, Farhat Haniff yang berusia 30 tahun. Beliau pada mulanya membeli jam pintar Apple Watch untuk menjadi lebih cergas, tetapi beliau mendapat lebih dari itu.
Farhat adalah seorang yang suka melakukan aktiviti kecergasan, selain menjaga pemakanan dan waktu tidur yang mencukupi. Beliau menganggap dirinya sebagai seorang yang sihat dan tidak berhadapan penyakit kronik.
Pada bulan Ogos tahun lepas, semasa dalam penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur, jam Apple Watch Series 4 miliknya mengeluarkan notis berkenaan kadar degupan jantungnya yang tiba-tiba melonjak tinggi, mencecah 120bpm. Beliau tidak merasakan sesuatu yang aneh kerana sesiapapun akan merasa cemas di dalam penerbangan yang bergelora.
Tetapi ia tidak terhenti di situ. Kejadian yang sama berulang lagi, di waktu beliau berehat dan tidak melakukan aktiviti kecergasan. Jam Apple Watch miliknya sekali lagi memberitahu degupan jantungnya melonjak tinggi, sewaktu menonton tv, dan sekali lagi sebelum masuk tidur. Ini membuatkan beliau bertemu doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Ujian awal doktor tidak menemui sebarang perkara tidak normal. Ini membuatkan doktor bertanya mengapa beliau mahu membuat pemeriksaan kesihatan. Selepas menyatakan tentang kejadian di Apple Watch, doktor bersetuju untuk menjalankan ujian lanjutan ECG.
Di sini doktor menemui sesuatu yang di luar kebiasaan. Menurut doktor, beliau menghadapi masalah degupan jantung yang tidak teratur dan harus dimasukkan ke wad hospital dengan segera.
Selain degupan jantung melonjak tinggi dan dikesan oleh Apple Watch, Farhat tidak mengalami sebarang bentuk penyakit lain. Punca degupan jantung beliau yang tidak teratur masih tidak diketahui dan beliau terpaksa memantau keadaan jantung selepas ini.
Sejak itu, Farhat telah berhenti dari meminum kafein serta terpaksa melupakan aktiviti kecergasan untuk memastikan ia tidak memberi tekanan ke atas badannya.
Beliau bagaimanapun berasa bersyukur kerana mendapat notis tersebut dari Apple Watch. Ini kerana Farhat telah mendaftar untuk acara larian serta merancang untuk menjelajah ke dalam gua bersama rakan. Mungkin sesuatu yang buruk akan terjadi jika beliau tidak membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal dan menyertai acara tersebut.
Berita tentang Apple Watch membantu menyelamatkan nyawa pengguna bukanlah sesuatu yang baru. Dengan fungsi seperti pengesan jatuh dan butang kecemasan SOS, ia telah membantu ramai orang yang menggunakannya. Bagaimanapun di Malaysia, fungsi pemantau ECG dan amaran AFib di Apple Watch, masih belum boleh digunakan.
Tetapi perlu diingatkan, jam pintar seperti Apple Watch hanyalah pembantu untuk memantau tahap kesihatan pengguna. Ia bukanlah pengganti kepada nasihat perubatan profesional atau peralatan perubatan khusus. Dapatkan pengesahan dari doktor dan mereka yang bertauliah sebelum cuba untuk mengambil langkah sendiri, untuk mengubati penyakit anda.
Sumber: Malay Mail