Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia telah memasuki hari kedua. Orang ramai diminta tidak keluar rumah melainkan ada perkara penting untuk dilakukan seperti membeli barang keperluan, atau mendapatkan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, didapati masih ada segelintir masyarakat yang tidak memahami perintah ini. Ada kedai makan yang dibuka di mana terdapat pengunjung yang duduk dan makan di situ. Salah satu arahan di dalam PKP adalah kedai makan masih dibenarkan dibuka, tetapi pembeli tidak dibenarkan makan di dalamnya. Hanya pembelian bawa pulang dibolehkan.
Perkara ini menyebabkan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa membuat satu perutusan khas pada malam hari pertama, meminta rakyat Malaysia agar duduk di rumah, tidak lepak makan di luar, membatalkan kenduri kahwin dan tidak pulang ke kampung. Duduk di rumah sahaja dan tidak keluar melainkan perkara penting sahaja.
Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, dengan melaporkan sebarang pelanggaran PKP ke Bilik Gerakan Kementerian Dalam Negeri di talian 03 8886 8110 / 8126, atau pun di mana-mana balai polis yang terdekat. Antaranya jika terlihat terdapat orang makan di kedai makan, berkumpul di acara atau perkhidmatan bukan keperluan yang membuka perniagaannya.
Adalah penting untuk orang ramai memahami bahawa PKP selama 2 minggu ini dibuat, adalah untuk mmebendung wabak COVID-19 dari terus menular. Wabak ini boleh dikesan dalam masa 14 hari selepas seseorang dijangkiti dan ia mudah tersebar melalui sentuhan atau batuk dan bersin. Jika tiada perjumpaan berdepan dalam masa 14 hari ini, maka tiada penyebaran berlaku dan ia dapat dibendung. Mereka yang telah dijangkiti dalam masa 14 hari ini dapat dikesan dan dikuarantin agar tidak lagi menjangkiti orang lain.
Jika wabak ini tak dapat dibendung dalam masa 14 hari PKP ini dijalankan, Malaysia akan berdepan gelombang ketiga yang lebih teruk, seperti berlaku di Itali di mana beribu orang dijangkiti dan ratusan kematian dicatatkan. Sehingga petang 18 Mac, Malaysia mencatatkan 790 kes positif dengan 2 kematian. Sebanyak 60 orang telah pulih dan dilepaskan dari wad.
Marilah bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia. Teruskan menjaga kesihatan diri dengan sentiasa membasuh tangan dengan sabun atau pembasi kuman. Kurangkan pergerakan di luar rumah melainkan perkara penting sahaja dan sentiasa mengingatkan orang di sekeliling untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.