Kerajaan memberikan kelonggaran khusus buat rakyat Malaysia untuk keluar dari radius 10km, yang ditetapkan menerusi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, berkuatkuasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Fasa Kedua bermula 1 April 2020.
Menurut Menteri Petahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob, hal ini berikutan, terdapat segelintir penduduk yang berdepan kesukaran untuk ke hospital dan kedai yang berada diluar radius 10km. Kelonggaran ini diberikan buat penduduk yang memerlukan rawatan, ubat dan barang keperluan harian.
Pada masa sama, kata beliau, sebelum ini perjalanan antara negeri tidak dibenarkan, namun atas budi bicara pihak polis, kebenaran untuk merentasi negeri di lokasi bersempadan akan diberikan jika ada sebab yang memerlukan. Sebagai contoh Petaling Jaya ke Bangsar atau Nilai ke Sepang.
Dalam usaha untuk memudahkan orang ramai mendapat akses ATM terdekat, kerajaan telah meluluskan pengecualian caj RM 1, untuk pengeluaran wang di semua mesin ATM rangkaian MEPS, bermula 6 April 2020 sehingga tempoh PKP berakhir. Ia juga bertujuan bagi mengelakkan orang ramai berpusu di bank semata-mata tidak mahu dikenakan caj berkenaan.
Sementara itu, Ismail Sabri turut berkata, jumlah tangkapan untuk pelanggaran perintah kawalan pergerakan (MCO) terus merosot sebanyak 6.8 peratus pada hari kedua PKP Fasa kedua dikuatkuasakan.
Pada 1 April 2020, polis menahan 562 individu yang melakukan pelanggaran terhadap arahan PKP. Jumlah tangkapan menurun kepada 524 kes pada 2 April 2020.
Jelasnya, daripada 524 tangkapan itu, 451 individu ditahan reman manakala 73 dilepaskan dengan jaminan polis. Penurunan ini menandakan bahawa kesedaran awam telah meningkat dan pihak berkuasa mengambil tindakan yang serius terhadap individu yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, setakat petang 3 April 2020, Malaysia mencatatkan pertambahan 217 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah rekod jangkitan di negara ini meningkat kepada 3,333 kes dengan jumlah discaj sebanyak 827 orang. Jumlah kematian juga meningkat kepada 53 kes selepas 3 kematian baharu direkodkan.
Untuk tempoh PKP fasa kedua ini, kerajaan mengambil pendekatan yang serius dalam usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Pada masa sama, inisiatif untuk memudahkan rakyat juga diambil, kalau ada ATM bank lain yang terdekat, boleh keluarkan duit di sana tanpa caj RM 1 buat masa ini.