Pembelian barang makanan dan keperluan merupakan salah satu kelonggaran untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara di dunia.
Memahami bahawa virus COVID-19 boleh berada di luar permukaan untuk satu tempoh yang lama (bergantung pada tempat ia berada), orang ramai dinasihatkan supaya menyahjangkit barang yang dibeli selepas pulang ke rumah selain, mengamalkan langkah selamat ketika keluar rumah seperti menjaga penjarakan sosial dan memakai topeng muka.
Jangkitan dari manusia lebih berisiko daripada sentuhan barang
Umum mengetahui, bahawa risiko jangkitan COVID-19 boleh dijangkiti dengan mudah menerusi pelbagai cara, yang membenarkan virus berkenaan untuk masuk ke dalam salur pernafasan.
Meskipun terdapat kemungkinan jangkitan COVID-19 boleh didapati menerusi sentuhan, manusia lebih berisiko terdedah kepada virus ini menerusi titisan salur pernafasan ketika berada dalam kelompok manusia.
Bagaimana untuk memastikan keselamatan diri daripada mendapat jangkitan COVID-19, ketika keluar membeli barang dan daripada item yang dibeli di kedai atau pasaraya?
Artikel daripada portal National Public Radio (NPC) mencadangkan beberapa langkah selamat untuk keluar membeli barang semasa tempoh pandemik ini.
1. Sebelum keluar rumah
a) Pakai topeng muka
Individu yang dijangkiti COVID-19 boleh menjangkiti orang lain meskipun dia tidak menunjukkan sebarang simptom. Keadaan ini menjadikan pemakaian topeng muka adalah digalakkan, bagi mengelak penyebaran wabak secara tidak sedar. Memakai topeng muka bukan sahaja dapat mengelak diri daripada terdedah kepada jangkitan tetapi melindungi orang lain daripadanya.
b) Hanya seorang sahaja yang keluar
Keluar membeli barang dengan ahli keluarga hanya mendedahkan mereka kepada virus COVID-19. Di dalam rumah, setiap individu yang terdedah dengan virus meningkatkan risiko jangkitan.
c) Tidak perlu sarung tangan
Sarung tangan tidak menjamin pencegahan terhadap jangkitan COVID-19. Ia lebih berisiko jika ia terdedah kepada virus. Apa yang penting adalah kerap membersihkan tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan. Elakkan penggunaan telefon bimbit di dalam kedai atau pasaraya. Ia berisiko menghalakan virus ke muka terutama ketika anda menjawab telefon.
2. Semasa melakukan pembelian
a) Sanitasi tangan dan troli atau bakul
Sebelum melakukan pembelian, sanitasikan pemegang troli atau bakul sebelum menggunakannya. Ia sebagai langkah pencegahan jangkitan selain mensanitasi tangan sebelum dan selepas melakukan pembelian.
b) Lakukan pembelian dengan cepat, elakkan kumpulan manusia
Orang ramai digalakkan supaya melakukan pembelian barang keperluan di premis yang menghadkan kemasukan pelanggan. Ia secara tidak langsung mengekalkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan meminimumkan risiko jangkitan.
c) Jaga jarak dengan juruwang
Penjarakkan sosial juga perlu semasa anda melakukan pembayaran di kaunter. Juruwang merupakan indvidu yang banyak berinteraksi dengan orang awam dan kita juga perlu memberikan jarak selamat buat mereka. Manfaatkan kaunter pembayaran sendiri sekiranya ia disediakan di pasaraya.
d) Pilih pembayaran tanpa sentuh berbanding tunai
Terdapat beberapa pembayaran tanpa sentuh seperti e-dompet atau pengesanan kod QR. Jika premis yang anda kunjungi menawarkan kaedah pembayaran ini manfaatkannya. Penggunaan tunai atau kad sebaiknya dikurangkan kerana ia melibatkan interaksi yang kerap. Jika tiada pilihan, sanitasi kad dan tangan selepas melakukan pembayaran.
3. Selepas pulang ke rumah
a) Membersihkan diri selepas pulang ke rumah
Mandi selepas pulang membeli barang bergantung kepada keadaan. Jika tinggal sendiri cukup sekadar membersihkan tangan dengan sabuh atau menyalin pakaian. Jika mempunyai keluarga dan anak kecil, perlu untuk memastikan diri dibersihkan terlebih dahulu.
b) Menyahjangkit barang yang dibeli
Risiko jangkitan COVID-19 menerusi sentuhan permukaan adalah rendah. Ini berikutan, kebayakkan virus yang berada di permukaan akan kehilangan upaya berjangkit selepas 24 jam dan sepenuhnya selepas 72 jam.
Menyahjangkit barang yang dibeli tidak semestinya diwajibkan dan tidak semua item terutama bahan makanan perlu dibasuh dengan sabun atau cecair sanitasi. Ditakuti mengundang kepada pencemaran terhadap bahan makanan tersebut terutama barang mentah. Yang penting amalkan langkah kebersihan sebelum dan selepas menyentuh barang.
Elakkan guna tisu atau semburan sanitasi. Untuk membersihkan bahan mentah, bilas ia dengan air. Jika masih ragu-ragu, boleh biarkan barang tersebut di luar rumah selama 24 jam terlebih dahulu (bahan kering).
4. Virus tidak mati dalam sejuk beku
Sebagai makluman, virus tidak akan mati dalam peti sejuk beku. Ia hanya membuatkannya bertahan dengan lebih lama. Sebaiknya, pindahkan makanan sejuk beku yang dibeli ke bekas lain dan pastikan anda mencuci tangan sebelum dan selepas memegangnya.
5. Pembelian dalam talian lebih selamat
Manfaatkan platform stor atau perkidmatan penghantaran makanan dalam talian untuk mengurangkan risiko jangkitan berada diluar rumah. Ia mengurangkan interaksi dengan orang awam dan kita boleh kekal berada di rumah.
Sumber: NPR