Ahli epidemiologi di Harvard University menerusi kajian mereka, menyarankan supaya amalan penjarakan sosial perlu diteruskan sehingga tahun 2022, bagi mengekang pandemik COVID-19.
Ini berikutan langkah sekatan pergerakan atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk satu tempoh sahaja tidak sepenuhnya menghentikan penularan wabak itu malah, menamatkannya boleh menyebabkan virus berkenaan kembali merebak.
Situasi ini berlaku di Jepun, yang menerima gelombang kedua COVID-19 selepas kerajaan negara itu melonggarkan sekatan pergerakan di sana.
Kajian yang diterbitkan pada 14 April 2020 itu menghuraikan, penjarakan sosial diperlukan, bukan sahaja untuk mengekang wabak tetapi, memberi ruang kepada pihak hospital untuk meningkatkan keupayaan rawatan kritikal jika berlaku gelombang baharu semasa sekatan pergerakan dilonggarkan.
Buat masa ini, belum ada kepastian sama ada, penularan wabak COVID-19 dapat dikekang seperti pandemik SARS pada tahun 2003. Dijangkakan juga, wabak ini boleh berlaku secara bermusim dan kadar penularan mungkin lebih tinggi pada musim sejuk.
Masih banyak perkara yang belum dapat diselidik dengan lebih teliti berhubung virus COVID-19, antaranya tahap kelangsungannya, mengaitkan tentang kitaran jangkitan yang mungkin berlaku seperti selsema.
Langkah penjarakan sosial mungkin boleh dilonggarkan sekiranya rawatan atau vaksin untuk jangkitan COVID-19 ditemui. Buat masa ini, banyak syarikat sedang bertungkus-lumus melakukan penyelidikan dan kajian untuk menghasilkan vaksin COVID-19. Penghasilan vaksin akan mengambil masa 18 bulan atau lebih.
Umum mengetahui virus COVID-19 mudah berjangkit. Amalan penjarakan sosial adalah langkah yang wajar bagi mengekang gelombang baharu daripada berlaku. Tidak mungkin kita mahu terus menjalani PKP untuk tempoh dua tahun.
Sumber: Forbes