Orang ramai boleh kembali solat berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan, dalam perutusan khas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri petang tadi. Solat jemaah ini boleh dilakukan bermula esok, 15 Mei 2020 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut beliau, solat jemaah yang boleh didirikan adalah solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih, serta solat sunat Aidilfitri. Solat jemaah yang lain boleh dilaksanakan secara berperingkat selepas solat Jumaat esok.
Tetapi orang ramai perlu mematuhi beberapa syarat untuk melaksanakan solat jemaah di masjid dan surau terpilih. Antaranya bahawa bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang dari 3 orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 orang. Siapa yang lambat dan menjadi orang ke-31 ke atas, tidak boleh menyertai solat jemaah ini.
Pihak masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan. Dr. Zulkifli telah berhubung dengan Ketua Polis negara dan beliau telah bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.
Selain itu, AJK masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya. Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), akan mengeluarkan garis panduan yang lebih terperinci untuk makluman pihak jawatankuasa kariah masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih serta umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Dr. Zulkifli turut mengingatkan orang ramai terutama AJK Masjid dan Surau untuk memastikan:
- Melaksanakan penjarakan sosial (social distancing) di dalam dan luar masjid
- Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh 1 meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka
- Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal
- Jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid
- Semua ahli Jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing- masing sebelum hadir ke masjid
- Jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang
- Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat samada di dalam atau di luar masjid
- Mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran Jemaah
- Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wudhu’ sebelum dan selepas solat
- Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa
- Ahli Jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, ahli jemaah harus diarah pulang
- Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran
- Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan
Pengumuman syarat dan peraturan ini tertakluk kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja. Pengumuman kebenaran solat jemaah di negeri lain akan diumumkan oleh Pihak berkuasa Agama Negeri masing-masing, kerana urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.
Sumber: Berita Harian, Dr. Dzulkifl