Qualcomm hari ini memperkenalkan ahli pertama siri Snapdragon 600 yang menggunakan litografi 8nm. Bukan sahaja Snapdragon 690 baru ini menggunakan tatacara pengeluaran baharu, ia turut dilengkapi modem 5G lantas meluaskan penawaran cip 5G ke lebih banyak penawaran.
Pada sudut binaan, ia masih kekalkan konfigurasi oktateras yang menggabungkan 2 teras berkuasa tinggi dan 6 teras seperti Snapdragon 675 tapi jenis terasnya lebih baharu.
Kryo 560 selaku teras berkuasanya dibina berasaskan Cortex A77 manakala enam teras Kryo 560-nya berasaskan Cortex A-55.
Di bahagian GPU, anda boleh jangkakan peningkatan saujana pada GPU. Menurut Qualcomm, Adreno 619L berikan 60% peningkatan prestasi grafik berbanding Andreno 612 pada Snapdragon 675.
Lain-lain spesifikasi yang boleh anda tahu adalah seperti sokongan RAM LPDDR4X dan pemproses isyarat imej (ISP) Spectra 355L yang menyokong kamera sehingga 48MP ataupun 32MP + 16MP dalam konfigurasi dwikamera.
Sungguhpun tidak menyatakan telefon manakah yang bakal diperkasa SoC ini, mereka memetik nama beberapa pengeluar seperti HMD Global, LG Electronics, Motorola, Sharp, TCL, dan Wingtech yang dijangkan mengumumkan produk masing-masing dalam masa terdekat.