Ada satu pelan broadband baru diperkenal Unifi pada 24 Ogos 2020. Pada asalnya, iklan menunjukkan yang ia berikan kelajuan muat turun (download) 500Mbps manakala kelajuan muat naik (upload) 200Mbps. Entah apa yang berlaku, lebih seminggu ia diperkenal, TM telah mengubah iklan mereka kepada kelajuan upload kepada 100Mbps
Hal tersebut telah menimbulkan kemarahan penggguna baharu yang melanggan pelan tersebut disebabkan tertarik dengan penawaran tersebut dan ia membuatkan MCMC campur tangan. Pihak berkuasa telahpun melancarkan siasatan terhadap dakwaan penipuan dalam beriklan.
Tindak balas yang telah diambil TM
Kalau badan korporat mengeluarkan kenyataan media pada hari Ahad, anda boleh jangkakan ia adalah sesuatu yang serius. TM memaklumkan yang pihak mereka akan bekerjasama sebaik mungkin dengan pihak berkuasa MCMC untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
Buat pihak pelanggan, TM memaklumkan yang pelanggan baru masih berada dalam tempoh percubaan. Dalam tempoh tersebut, mereka boleh membatalkan langganan mereka pada bila-bila masa tanpa dikenakan sebarang penalti.
Dalam pada masa yang sama, TM akan menghubungi pelanggan terlibat bermula 21 September 2020 untuk menerangkan isu tersebut. Berikut adalah kenyataan penuh pihak TM.
Sebagai maklum balas kepada kenyataan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dikeluarkan pagi ini bertajuk “MCMC Siasat Aduan Pengurangan Kelajuan Pakej unifi Berbanding Tawaran Awal”, Telekom Malaysia Berhad (TM) ingin meyakinkan semua pelanggan dan pihak berkepentingan berkenaan komitmen kami terhadap hak dan perlindungan pengguna.
Kami menyesali kesilapan yang berlaku dan telah mengeluarkan penjelasan berkenaan perkara tersebut pada lewat hari Jumaat. Kami akan terus bersikap telus dalam memaklumkan kepada para pelanggan tentang perkara ini, dan kami sedang memperkemas proses-proses kami supaya perkara sebegini tidak berulang.
Pada masa yang sama, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SKMM dalam proses siasatan mereka. Kami ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps tersebut.
Pembetulan telahpun dibuat bagi kesilapan kelajuan muat naik untuk pakej 500Mbps yang telah tertera di Soalan-soalan Lazim (FAQ), portal unifi dan risalah pada 2 September 2020. Konfigurasi kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukannya 200Mbps seperti mana yang tertera dalam versi FAQ, portal unifi dan risalah sebelum ini.
Kami ingin memaklumkan bahawa semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan atau “Try Me” memandangkan pakej berkenaan baru sahaja diperkenalkan kurang sebulan lalu iaitu pada 24 Ogos 2020. Oleh itu, para pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.
Kami akan menghubungi para pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos bagi memaklumkan kepada mereka berkenaan kesilapan tersebut dan pilihan yang mereka ada, bermula Isnin, 21 September 2020.
Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kesemua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah dikemas kini dengan maklumat yang betul.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi wakil khidmat pelanggan kami di pusat panggilan 100, TMpoint di seluruh negara atau ejen-ejen maya melalui aplikasi myunifi.
Terima kasih.
Walau bagaimanapun, menurut FAQ, tempoh percubaan ini hanyalah untuk pengguna baru dan bukannya pelanggan sedia ada.
Apa yang seharusnya dilakukan TM?
Mereka boleh saja memberikan kelajuan upload 200Mbps kepada pelanggan yang telah menandatangani kontrak baru antara tarikh pelancaran pelan dengan tarikh yang mereka sedari kesilapan. Sudah tentu bilangannya tak begitu ramai jika dibandingkan kecaman yang mereka terima dari netizen malah merisikokan imej tercalar dan juga berdepan dengan siasatan MCMC.