Google akan mengadakan satu majlis pelancaran pada 30 September, hangat diperkatakan ia akan memperlihatkan telefon pintar baru, Pixel 5. Selain itu, beberapa produk Google yang lain dijangka akan diperkenalkan, antaranya ialah Chromecast serba baru. Tetapi ada penemuan mengatakan bahawa Chromecast baru ini telah mula dijual di kedai.
Seorang pengguna Reddit melaporkan, dia menemui Chromecast baru yang masih belum dilancarkan, di kedai fizikal The Home Depot. Malah, ada yang mengatakan ia juga telah dijual di Walmart. Perkara ini disahkan sendiri oleh The Verge apabila mereka sendiri dapat membeli Chromecast dari The Home Depot. Chromecast serba baru ini datang bersama satu fungsi baru, Google TV dan ia dijual pada harga USD 49.99 (~RM208).
Google TV diperkatakan adalah nama baru untuk Android TV. Bermakna, Chromecast tidak lagi bertindak sebagai perantara antara telefon pintar dan TV, sebaliknya ia memiliki sistem operasi sendiri dan boleh berfungsi tanpa telefon pintar.
Di dalam kotak, Chromecast yang baru ini turut datang bersama alat kawalan jauh, kabel USB-C dan kepala pengecas. Alat kawalan jauhnya memiliki butang khas untuk Assistant, YouTube dan Netflix.
Untuk spesifikasi, Chromecast yang baru ini dilengkapi RAM 2GB dan storan dalaman 8GB. Ia menyokong paparan sehingga 4K, serta teknologi Dolby Atmos dan Dolby Vision.
Google TV yang baru ini turut datang dengan antaramuka serba baru, nampak sedikit berbeza dengan antaramuka Android TV sedia ada.
Google pasti akan menerangkan lebih banyak lagi tentang Chromecast baru dengan Google TV di majlis pelancaran pada 30 September nanti. Selain itu, nantikan ketibaan telefon pintar Pixel 5 di acara yang sama.