Pengguna WhatsApp hari ini pasti ada yang menerima pop-up apabila membuka WhatsApp, mengenai notis kemaskini untuk terma dan polisi privasi. Notis itu bagaimanapun hanya menyenaraikan beberapa perkara yang dikatakan penting. Pengguna bagaimanapun boleh memilih untuk “Agree” (bersetuju) sekarang, atau berbuat kemudian dengan menekan “Not Now”.
Secara ringkas, terma dan polisi privasi baru WhatsApp ini akan dikemaskini dengan cara, bagaimana perniagaan boleh menggunakan perkhidmatan Facebook untuk menguruskan perbualan WhatsApp. Serta bagaimana WhatsApp dipergunakan untuk digabungkan dengan pelbagai produk di bawah syarikat Facebook.
Tetapi ada satu perkara penting yang perlu diketahui oleh semua pengguna WhatsApp. Berkuatkuasa pada 8 Februari 2021, anda MESTI bersetuju dengan terma dan polisi baru ini jika mahu terus menggunakan WhatsApp. Jika tidak, anda dipersilakan untuk memadam akaun WhatsApp anda.
Apa yang berubah?
Di dalam polisi lama WhatsApp, terdapat satu ayat yang penting sebagai pengenalan:
Respect for your privacy is coded into our DNA. Since we started WhatsApp, we’ve aspired to build our Services with a set of strong privacy principles in mind.
Ia bermaksud, menghormati privasi telah terbina di dalam kod DNA Whatsapp. WhatsApp dibina dengan prinsip privasi yang kuat sejak permulaan.
Tetapi ayat ini telah dibuang dari polisi privasi WhatsApp yang baru. Apa yang diterangkan pada permulaan polisi baru ini, WhatsApp adalah sebahagian dari syarikat Facebook, jadi mereka mahu berkongsi segala data yang ada bersama semua perkhidmatan di bawah syarikat Facebook.
Jika anda tidak tahu, perkhidmatan yang terdapat di bawah Facebook selain Facebook dan WhatsApp adalah Messenger, Instagram, Boomerang, Threads, Portal-branded devices, Oculus VR, Facebook Shops, Spark AR Studio, Audience Network, dan NPE Team. Bermakna, semua data di dalam WhatsApp akan dikongsikan dan digunakan oleh semua perkhidmatan tersebut.
Antara bahagian yang diubahsuai adalah mengumpul maklumat secara automatik, meliputi maklumat log dan penggunaan, maklumat sambungan dan peranti, serta maklumat lokasi.
“Kami mengumpulkan maklumat mengenai aktiviti anda di Perkhidmatan kami, seperti maklumat mengenai perkhidmatan, diagnostik, dan prestasi. Ini termasuk maklumat mengenai aktiviti anda (termasuk cara anda menggunakan Perkhidmatan kami, tetapan Perkhidmatan anda, bagaimana anda berinteraksi dengan orang lain menggunakan Perkhidmatan kami (termasuk semasa anda berinteraksi dengan perniagaan), dan masa, kekerapan, dan jangka masa aktiviti dan interaksi anda), fail log, dan log dan laporan diagnostik, kerosakan, laman web, dan prestasi. Ini juga merangkumi maklumat apabila anda mendaftar untuk menggunakan Perkhidmatan; ciri yang anda gunakan seperti pesanan, panggilan, Status, kumpulan (termasuk nama kumpulan, gambar kumpulan, keterangan kumpulan), pembayaran atau ciri perniagaan; gambar profil, maklumat “About”; sama ada anda dalam talian, ketika terakhir kali menggunakan Perkhidmatan (“terakhir dilihat” anda); dan ketika terakhir kali anda mengemas kini maklumat “mengenai” anda.
Polisi baru ini turut menerangkan maklumat yang dikumpulkan dari peranti seperti model, sistem operasi, tahap bateri, kekuatan signal, versi aplikasi, maklumat pelayar, rangkaian, maklumat sambungan (termasuk nombor telefon, penyedia perkhidmatan atau ISP), bahasa dan zon masa, alamat IP, maklumat operasi peranti dan pengenalan (termasuk pengenalan unik kepada produk berkaitan syarikat Facebook yang dihubungkan dengan peranti atau akaun yang sama).
Tambahan lagi, polisi itu juga menyebut, “Walaupun anda tidak menggunakan fungsi berkaitan lokasi, WhatsApp akan menggunakan alamat IP atau maklumat lain seperti kod kawasan nombor telefon untuk mengagak lokasi secara am (bandar atau negara)”.
Walaupun WhatsApp dilengkapi fungsi penyulitan dari hujung-ke-hujung, kemaskini terbaru di dalam polisi dan terma ini menunjukkan bagaimana banyaknya data akan digunakan oleh Facebook, untuk “meningkatkan kualiti perkhidmatan” mereka. Sedangkan, semua maklumat ini adalah maklumat peribadi yang unik untuk semua pengguna.
Apple baru-baru ini telah mengemaskini sistem operasi mereka dengan memaksa semua pembangun aplikasi untuk menyenaraikan semua maklumat privasi pengguna yang diambil dari aplikasi. Ini sebagai cara pengguna tahu data apakah yang digunakan oleh aplikasi tersebut tanpa bersembunyi.
Sejak itu, Facebook menuduh Apple sebagai cuba menjatuhkan perniagaan kecil kerana membongkar begitu banyak maklumat dikutip oleh Facebook, tanpa diketahui pengguna. Ia turut memaksa WhatsApp mengeluarkan kenyataan bahawa ada data pengguna yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan yang “boleh dipercayai” kepada pengguna.
Walaupun langkah terbaru WhatsApp untuk berterus-terang kepada pengguna adalah sangat baik, tetapi ia dilihat sebagai berat sebelah kerana memaksa pengguna menerima semua syarat dan terma baru. Sedangkan pengguna mungkin sudah terlalu terikat dengan WhatsApp dan sukar untuk bertukar kepada perkhidmatan lain, akibat pengguna yang ramai atau telah berbelanja besar untuk membina platform perniagaan.
Sebagai pengguna, ini adalah masa untuk menilai semula sama ada terus menggunakan WhatsApp dengan membenarkan segala maklumat peribadi digunakan oleh semua syarikat Facebook, atau mula mencari pilihan lain untuk berinteraksi dengan orang lain. Sebagai permulaan, Telegram adalah platform lain yang boleh anda cuba.
[Sumber: Hacker News]