Mungkin anda pernah dengar yang Razer telah mengambil alih pengeluar telefon, NextBit, awal tahun ini. Menggunakan saki baki yang tinggal, Razer telah membangunkan sebuah telefon pintar yang sempurna, Razer Phone.
Telefon ini tidaklah mengikut trend nirbingkai 2017 mahupun paparan 18:9 seperti kebanyakkan telefon yang lain. Sebaliknya, ia masih mengekalkan rupa comel ikonik NextBit Robin tetapi dipadatkan dengan komponen-komponen yang garang.
Misalnya pada paparannya, Razer memberikan panel 120Hz, yang pertama seumpamanya dalam peranti Android. Panel sebesar 5.7″ padanya mempunyai resolusi QHD 2160×1440.
Papan utama tidak ketinggalan diberikan komponen terbaik yang boleh mereka peroleh setakat ini. Anda akan menemui perkakasan seperti:
- Qualcomm Snapdragon 835
- RAM 8GB
- 64GB Storan (boleh diperluas)
- Speaker Stereo Dolby Atmos
- 2 Kamera belakang 12MP
- Bateri 4,000mAh dengan pengecasan pantas
Dibangunkan khas untuk tujuan gaming, Razer memaklumkan yang telefon ini memiliki penyelesaian termal yang terbaik dalam industri. Badan besi telefonnya bertindak sebagai penyerak haba. Ia memastikan CPU mampu beroperasi pada kelajuan paling optimum dan tidak dihadkan dek suhu yang terlalu tinggi.
Razer Phone dijual pada harga USD 700 (RM 2,959) dan akan mula diedarkan bermula 17 November ini melalui kedai dalam talian mereka. Pada harga sebegitu dan spesifikasi yang premium, saya tak rasa golongan gamers saja yang akan berminat dengan telefon ini.
Terus ke laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.