Pada minggu kedua bulan Jun 2021, syarikat Grab di Singapura akan memulakan ujian rintis perkhidmatan Grab Robot Runner di Paya Lebar Quarter (PLQ) Mall.
Robot ini akan membantu menggabungkan pesanan di beberapa restoran dalam pusat membeli-belah itu, sebelum menyerahkannya kepada rakan penghantaran di pusat pengumpulan.
Keupayaan Grab Robot Runner
Robot Grab ini mempunyai kemampuan untuk belajar tentang persekitarannya melalui kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti sensor cahaya LIDAR untuk mengesan halangan masuk, memberi mesej suara automatik untuk memberitahu pembeli mengenai kehadirannya dan kemampuan untuk mengimbas jarak secara langsung untuk elak halangan secara tiba-tiba dan mencegah pelanggaran.
Kebersihan & keselamatan
Dari segi kebersihan pula, troli makanan pada robot akan dilengkapi dengan kunci kombinasi. Kunci tersebut hanya akan diberikan kepada kedai yang mengambil bahagian dan staf Grab yang menguruskan tempat pengumpulan. Ini bagi mencegah gangguan individu lain yang berdekatan dengan robot
Robot ini berpotensi bergerak ke 35 peniaga GrabFood dan GrabMart di ruang bawah tanah dua PLQ Mall, serta mampu menyelesaikan lebih daripada 250 pesanan sehari.
Menyingkatkan masa penghantaran
Dengan adanya robot ini, ia secara tidak langsung dapat menjimatkan masa rakan penghantaran, antara 5 hingga 15 minit dari waktu yang biasa diambil untuk menavigasi pusat membeli-belah dan mengumpul setiap pesanan.
Memandangkan jumlah pesanan yang meningkat sejak Grab memperkenalkan ciri mix and match di beberapa pusat beli-belah pada tahun lalu, rakan penghantaran mendapati mereka memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan pergerakan bagi mencari restoran-restoran di dalam pusat membeli-belah.
Oleh itu, robot ini akan membantu mengurangkan keseluruhan masa penghantaran dan berpotensi membolehkan rakan penghantar memenuhi lebih banyak pesanan pada setiap hari.
[Sumber: Grab]