Baik beli Poco akan berkumandang lagi untuk beberapa hari yang akan datang kerana Poco telah melancarkan satu lagi telefon pintar baru mereka, diberi nama Poco X3 GT. Meneruskan tradisi Poco, ia adalah telefon pintar yang berharga lebih murah daripada jenama lain, dengan prestasi sama berkuasa tinggi.
Di pelancaran ini juga, Poco mengesahkan bahawa telefon baru mereka ini akan dijual di Malaysia. Terdapat dua varian yang akan boleh dibeli secara eksklusif di Lazada pada harga:
- RAM 8GB + storan 128GB – RM1,299
- RAM 8GB + storan 256GB – RM1,599
Diskaun & hadiah percuma
Tetapi khas untuk pembeli awal, Poco memberi diskaun untuk tempahan awal Poco X3 GT. Pada 3 dan 4 Ogos 2021 di Lazada sahaja, diskaun sehingga RM200 diberikan menjadikan harganya:
- RAM 8GB + storan 128GB –
RM1,299RM1,199 - RAM 8GB + storan 256GB –
RM1,599RM1,399
Malah khas pada 3 Ogos, pembeli Poco X3 GT 256GB akan turut menerima hadiah percuma bernilai RM169. Tidak pula dinyatakan apakah jenis hadiah tersebut tetapi ia pasti berkaitan aksesori Xiaomi.
Terdapat tiga warna disediakan untuk Poco X3 GT di Malaysia iaitu hitam, putih dan biru.
Spesifikasi
Secara ringkas, Poco X3 GT bukanlah telefon pintar yang serba baharu. Ia adalah telefon pintar Xiaomi yang dijenamakan semula iaitu Redmi Note 10 Pro 5G yang telah dilancarkan di China. Malah, tidak ada sebarang perubahan rupa dibuat dalam penjenamaan semula ini.
Telefon ini dikuasakan cip flagship baru Mediatek, Dimensity 1100 yang dibina dari proses 6nm. Cip ini juga membolehkan dwi-sim 5G dan WiFi 6 dilengkapi di Poco X3 GT. Prestasi telefon ini ditambah lagi dengan penggunaan storan pantas UFS3.1 sehingga 256GB dan RAM LPDDR4X. Bagaimanapun, tiada slot kad mikroSD untuk menambah storan.
Di hadapan, Poco X3 GT memiliki skrin LCD seluas 6.6-inci HD Penuh, dengan penyegaran dinamik 120Hz dan kadar sentuhan 240Hz. Poco X3 GT juga dipasang kaca Corning Gorilla Glass Victus, kaca sama yang digunakan telefon lebih mahal seperti siri Galaxy S21 dan ASUS Rog Phone 5. Pengimbas capjari digabungkan ke dalam butang kuasa di sisi, tetapi butang kuasa ini menonjol keluar. Tidak tenggelam seperti kebanyakan telefon pintar lain.
Satu perkara serba baharu untuk jenama Poco di X3 GT adalah kuasa pengecas. Ia ada bateri 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W, pertama ada di telefon pintar Poco. Malah, Poco memberi kepala pengecas 67W di dalam kotak, bersama kabel USB-A ke USB-C. Dikatakan boleh mengecas dari 0-100% dalam 42 minit sahaja.
Bagi kamera, ia menggunakan gabungan kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP di belakang. Di hadapan, kamera 16MP terdapat di dalam lubang di sudut atas skrin.
Jek audio 3.5mm tiada di telefon ini, tetapi ia dipasang dengan dua pembesar suara di atas dan bawah telefon untuk mengeluarkan bunyi kiri dan kanan yang seimbang. Bunyi stereo di telefon ini dipertingkat lagi dengan teknologi Dilby Atmos.
Satu perkara yang belum dapat dipastikan adalah sokongan RAM maya. Ini kerana Redmi Note 10 Pro 5G telah menerima kemaskini yang membolehkan penggunaan storan dalaman sebagai RAM maya sehingga 5GB. Tetapi ia tidak dikhabarkan ada lagi di Poco X3 GT. Mungkin kemaskini akan datang membolehkan fungsi ini diaktifkan.
Untuk maklumat lanjut mengenai telefon pintar yang baru ini, layari laman produk Poco X3 GT.