Bagaimana cara anda bersihkan telefon selepas ia terdedah lama kepada kekotoran seperti habuk, air yang melekit, pasir dan sebagainya? Dan bagaimana anda menjamin telefon anda bersih dari Coronavirus?
Kajian menunjukkan Coronavirus boleh bertahan di atas permukaan objek selama beberapa jam hingga ke beberapa hari. Oleh kerana telefon merupakan alat komunikasi utama yang sering digunakan, maka sebaiknya anda bersihkan telefon anda sekurang-kurangnya sekali sehari. Berikut merupakan cara bersihkan telefon pintar anda tanpa merosakkanya.
1. Bersihkan dengan tisu pembasmi kuman
Pastikan anda menggunakan tisu pembasmi kuman yang mengandungi 70% alkohol isopropil untuk membersihkan skrin telefon anda. Menurut Apple, tisu pembasmi kuman Clorox dan yang sama dengannya boleh digunakan untuk membersihkan iPhone dan peranti lain dengan baik.
Selain itu, Samsung pula mencadangkan pengguna membersihkan peranti dengan larutan berasaskan alkohol etanol 70% dan dilap menggunakan kain mikrofiber.
2. Bersihkan kesan cap jari di skrin dengan kain mikrofiber
Oleh kerana kulit manusia sentiasa menghasilkan minyak, kesan cap jari di skrin sangat susah ditanggalkan. Cara paling selamat dan berkesan untuk membersihkannya adalah dengan menggunakan kain mikrofiber.
Jika kotoran itu sangat susah ditanggalkan, guna air untuk melembapkan kain mikrofiber dan kemudian lap skrin anda. Anda juga boleh gunakan cara ini sekiranya bahan makeup melekat pada skrin telefon.
Selain itu, anda juga disarankan untuk mencuba pelekat pembersih skrin mikrofiber (microfiber screen cleaner sticker) untuk lakukannya. Hanya lekatkan ia di belakang telefon dan guna bila perlu.
3. Guna pita untuk bersihkan celahan telefon
Habuk dan pasir adakalanya mudah tersekat di ruang kecil telefon. Anda boleh bersihkannya dengan menggunakan pita pelekat. Gulung dan lekatkannya di ruangan yang sempit itu dan mungkin ia akan membantu menarik kotoran tersebut keluar.
Anda juga boleh gunakan pencungkil gigi secara perlahan untuk membersihkan ruangan kecil seperti dilubang pembesar suara.
4. Basuh telefon kalis air
Sekiranya anda mempunyai telefon yang tahan air IP67 ke atas seperti Samsung Galaxy Z Fold 3 dan Flip 3, anda boleh membasuhnya dengan air. Tetapi, lebih baik anda gunakan kain lembap untuk membersihkan telefon. Kemudian keringkan telefon dengan kain lembut yang kering untuk menghilangkan air. Pastikan juga anda keringkan semua bahagian pembesar suara dan port pengecas.
Jangan bersihkan telefon guna bahan ini
Demi memastikan telefon anda sentiasa berfungsi dengan baik dan skrinnya tidak rosak, pastikan anda tidak menggunakan bahan di bawah ini untuk membersihkan telefon.
1. Cecair pembersih tingkap
Jangan pernah menganggap cecair pembersih tingkap boleh bersihkan skrin telefon anda, sama seperti tingkap dan cermin rumah. Beberapa telefon, seperti iPhone XR mempunyai lapisan pelindung yang tahan terhadap air dan minyak. Menggunakan pembersih yang kuat seperti cecair pembersih dapur dan sabun basuh pinggan boleh menyebabkan telefon anda mudah tercalar.
2. Tuala kertas
Tuala kertas mudah terkoyak dan itu akan jadikan skrin telefon anda lebih teruk, ia juga berpotensi mencalarkan skrin anda.
3. Alkohol
Oleh kerana banyak model telefon kini mempunyai lapisan pelrindungan, menggosok alkohol boleh menghakisnya dari masa ke semasa dan ini akan menyebabkan telefon anda mudah tercalar.
4. Pembersih solekan
Pembersih solekan (makeup remover) mungkin mempunyai bahan kimia yang boleh memudaratkan skrin elektronik. Disarankan agar anda tidak menggunakannya dan hanya cuci dengan kain lembut dan sedikit air.
Sekiranya anda pernah menggunakan bahan yang tidak sesuai seperti di atas, pastikan anda tidak mengulanginya lagi dan gunakan bahan yang telah dicadangkan untuk bersihkan telefon anda.
[Sumber: Cnet]