Adakalanya permainan kanak-kanak biasa yang tidak diaturkan untuk membalas arahan individu, boleh mendatangkan rasa bosan apabila memainnya. Ini akhirnya akan mengakibatkan kanak-kanak tidak meluangkan masa yang lama bermain dengan satu permainan dan akan meminta permainan yang baru.
Oleh itu, wujudkah permainan yang boleh mengikut arahan kanak-kanak? Saya dapatkan robot permainan AT-Smart di Lazada. Ia dikatakan mampu memberi keseronokan dan pengalaman baru kepada kanak-kanak mengenai robotik dan teknologi canggih seawal usia 3 tahun. Ia juga dikatakan mempunyai 5 fungsi iaitu fungsi sentuh, menerima arahan suara, merakam suara, menyanyi dan menari. Bagi mengetahui tahap keseronokan bermain dengan robot ini dan kesesuaiannya untuk kanak-kanak, saya sudah cuba bermainnya selama seminggu.
Fizikal robot AT-Smart
Saya dapatkan robot AT-Smart berwarna merah. Di kertas manual menyatakan bahawa, nama robot ini ialah Aaytee. Ianya tidaklah berat, saya umpamakan seperti mengangkat sebelah kasut orang dewasa. Tingginya sekitar 15 inci, senang dipegang dengan sebelah tangan.
Materialnya plastik, pertama kali saya pegangnya, terasa ia seperti mainan biasa yang ada di rumah. Cuma, robot ini ada tekstur seperti matte sedikit pada keseluruhan dirinya.
Dari segi rekaan, saya suka reka bentuknya kerana kelihatan seperti robot pintar dewasa. Ada kepala berbentuk petak, lampu bercahaya dan tayar di sisi kanan dan kiri.
Robot ini mempunyai pelbagai fungsi di setiap bahagian dan fungsi itu tidak boleh ditukar. Pada bahagian hadapan kepala robot, ia mempunyai mata berwarna, warna pada mata itu akan berubah apabila robot ini dihidupkan. Apabila robot dimatikan, lampu matanya juga akan terpadam.
Di bahagian bawah pula ada satu butang mikrofon, ia perlu ditekan sebelum merakam suara untuk simpanan memo suara. Bawah butang itu ada penerima kawalan suara.
Seterusnya di tepi kanan ada satu bulat hitam yang merupakan sensor sentuh. Apabila disentuh sekejap dalam satu saat, robot akan bercakap, bergerak kedepan dan berpusing. Jika disentuh lama, ia dapat menaikkan audio suara robot. Bawahnya ada satu tayar yang membantu robot bergerak.
Di bahagian kiri juga ada satu sensor sentuh berwarna hitam. Jika disentuh sekejap robot akan bercakap, gerak ke belakang, bercakap semula dan berpusing. Selain itu, ia dapat menurunkan audio suara robot apabila disentuh lama.
Atasnya pula, ada satu sensor sentuhan. Sentuhan sekejap dan lama akan menyaksikan tindakan berbeza dari robot. Apabila disentuh sekejap pada sensor dengan jari, ia boleh lakukan 4 tindakan berbeza.
- Sentuhan pertama akan membuatkan robot bercakap, mengeluarkan muzik dan bergerak.
- Sentuhan kedua akan memperlihatkan robot berpusing membentuk bulatan dan mengeluarkan suara rawak.
- Sentuh kali ketiga membuatkan robot mengeluarkan bunyi rawak, bunyi ciuman dan bergerak ke depan.
- Sentuh kali ke empat pula akan membuatkan robot gelak dan bergerak ke belakang.
Apabila disentuh lama, ia akan mengaktifkan mod ulangan suara. Fungsi ini ibarat bermain ulang suara dalam permainan Talking Tom. Robot akan ikut semula suara yang didengar.
Di bahagian belakang pula disediakan satu pembesar suara yang terletak di kepala.
Untuk menghidupkan robot ini, ada satu butang kuasa, on off di bahagian bawah. Ia menggunakan 3 bateri jenis AAA, slot bateri ditempatkan di bawah robot juga dan ia perlu di buka menggunakan skru. Bateri tidak disediakan, jadi saya perlu beli berasingan.
Robot ini boleh mengesan 9 arahan suara dari bahasa Inggeris, iaitu:
- Arahan: Hey Aaytee! – Robot balas “Hey Guy!” dan bergerak.
- Arahan: Come here – Robot balas “Yes” dan bergerak ke depan
- Arahan: Go back – Robot balas “Yes” dan bergerak ke belakang
- Arahan: Turn Left – Robot balas “Yes” dan pusing ke kiri
- Arahan: Turn Right – Robot balas “Yes” dan pusing ke kanan
- Arahan I Love You – Robot akan bergerak ke depan dan balas bunyi ciuman, atau bergerak dalam bulatan dan balas bunyi robot, atau balas I love You Too dan bunyi ciuman.
- Soalan Are You Happy? – Robot akan bercakap dan kemudian gelak atau, robot bercakap dan berikan lagu dan tarian rawak atau, robot balas “Mmm” dan lampu mata terpadam.
- Soalan Can you dance? – Robot balas “No Problem!” diikuti lagu dan tarian rawak
- Arahan Music – Robot balas “Ok, music” diikuti lagu rawak dimainkan
Ia tidak boleh bertindak balas jika saya berikan arahan suara, berbeza dari 9 senarai di atas.
Pengalaman bermain robot AT-Smart
Robot ini senang dikendalikan, ia boleh bertindak mengikut arahan dari suara yang jelas. Untuk jadikan ia menarik, saya ada cuba menggunakan robot ini untuk bermain bola kecil. Robot akan tolak bola mengikut arahan, contohnya apabila saya cakap Come here, robot akan bergerak ke depan dengan menolak bola. Saya akan letakkan bola kecil itu di sisi robot, jika saya ingin dia menolaknya ke kiri atau kanan. Perkara ini juga dilihat oleh anak saya, dan dia cuba mengaplikasikan perkara sama dengan menukar objek lain.
Jika kanak-kanak masih tidak boleh beri arahan, ada sensor sentuh di atas kepala untuk mereka bermainnya. Dari situ mereka akan dihiburkan dengan pergerakan dan muzik rawak dari robot. Apabila saya sentuh sensor itu banyak kali, robot akan mainkan lagu berbeza dan tunjukkan bermacam aksi berdasarkan 4 tindakan di atas tadi. Setelah selesai tindakan pertama, baru robot akan lakukan tindakan yang kedua.
Saya juga ada aktifkan mod ulang suara untuk hiburan tambahan. Suaranya kecil, hampir sama seperti suara kartun dalam permainan Talking Tom, tetapi kasar sedikit.
Selain itu, fungsi rakam suara juga ada. Robot boleh simpan 3 memo suara dalam satu masa. Satu memo suara diberikan had 8 saat sahaja. Di sini, saya akan rakam suara saya menyebut nama anak saya dan peringatan berguna seperti, terima kasih tidak sepahkan rumah dan tolong main sama-sama. Dari situ, apabila anak saya tertekan butang mikrofon ketika bermain, mereka akan dengar suara saya.
Rumusan
Mungkin kanak-kanak akan rasa teruja apabila robot boleh bertindak mengikut arahan mereka. Tetapi, antara kekurangan yang saya dapati ada pada robot ini ialah, ia tidak mempunyai sensor untuk mengesan halangan. Maksudnya, apabila ia berjalan ke hadapan atau undur ke belakang, robot ini akan langgar apa sahaja halangan yang ada pada laluannya. Contohnya seperti meja dan sofa, ini akan akibatkan robot ini jatuh kebelakang.
Kemudian, apabila memberi arahan, persekitaran perlu senyap dan saya perlu lontarkan suara dekat dengan kawasan pengesanan suara. Jika tidak, ia tidak dapat mengesan arahan saya dan akan melakukan perkara yang tidak disuruh. Selain itu, robot AT ini juga mudah terbaring atau tertiarap apabila bergerak terlalu laju, ini memerlukan pertolongan individu berdekatan untuk bagunkannya semula.
Namun, robot ini masih sesuai dijadikan permainan harian untuk kanak-kanak usia 3 tahun ke atas. Bagi saya, robot ini bukan sahaja bantu melatih kanak-kanak untuk berikan arahan pergerakan dalam bahasa Inggeris tetapi ia juga mudah dikendalikan.
Beli robot di Lazada
Saya beli robot ini di Lazada dengan harga RM62.00 tidak termasuk kos penghantarannya dari China. Ia makan masa selama 13 hari untuk tiba di rumah saya di Setia Alam, Selangor. Mungkin kerana PKP, tempoh penghantarannya menjadi lama. Tetapi, saya suka berurusan dengan penjual robot ini sebab dia sangat pantas menjawab semua soalan saya.
Sebenarnya, ada banyak kedai yang menjual robot ini di Lazada. Saya cari kedai yang menjualnya dengan harga paling murah dan melihat pada penilaian yang baik dari pelanggan. Ia tersedia dalam 3 warna iaitu merah, kuning dan hijau.
Jika anda perasan, ada pelbagai jenis robot mainan dijual di platform Lazada dan Shopee. Tetapi saya tertarik untuk beli robot AT-Smart kerana reka bentuknya nampak seperti robot pintar yang mahal. Fizikalnya juga tidak sama seperti robot pintar lain, yang direka berbentuk haiwan dan adiwira. Tambahan pula, ia boleh mengikut arahan berdasarkan suara dan dilengkapi fungsi sentuhan. Jadi sesuailah untuk perkenalkan robot kepada kanak-kanak buat kali pertama.