Sistem operasi iOS 15 untuk iPhone sudah boleh dimuat turun. Ia menjanjikan kepada pengguna cara baru untuk terus berhubung, kemas kini yang hebat dan pelbagai ciri pintar. Berikut merupakan 10 ciri yang harus anda cuba setelah mengemaskini iPhone anda.
1. Focus
Focus (fokus) merupakan cara baru untuk bantu pengguna mengurangkan gangguan notifikasi yang tidak penting. Ia akan menapis notifikasi berdasarkan perkara yang ingin difokuskan pengguna pada ketika itu.
Contohnya, Work Focus boleh ditetapkan pada waktu bekerja. Dari situ, anda hanya akan menerima notifikasi daripada rakan sekerja dan aplikasi yang digunakan untuk bekerja sahaja. Anda juga dibenarkan menambah focus sendiri, seperti waktu rehat atau hari minggu.
Apabila Focus ditetapkan pada satu peranti Apple, ia secara automatik akan dihidupkan di semua peranti Apple anda. Untuk akses Focus, and boleh ikut langkah di bawah:
- Pergi ke tetapan
- Pilih ciri Focus, ia terletak antara Sounds & Haptics dan Screen Time.
- Anda akan disediakan 3 pilihan Focus iaitu Personal, Sleep dan Work
- Tekan simbol + pada atas kanan untuk pilih mod Focus yang lain
Setiap pilihan ini akan memberi anda senarai ciri yang akan disertakan. Contohnya pilihan Driving, ia akan senyapkan notifikasi, memberitahu individu lain bahawa notifikasi anda senyap dan benarkan mereka beritahu anda jika ada sesuatu mustahak. Mod ini juga akan dihidupkan automatik apabila anda menyambungkan telefon ke CarPlay. Anda juga boleh pilih kenalan yang anda ingin terima notifikasinya ketika memandu.
2. Notifikasi
Dalam kemaskini ini, notifikasi mesej anda akan dipaparkan dalam bentuk ikon aplikasi yang lebih besar beserta foto kenalan.
Kemudian ada ciri Scheduled Summary, ia akan kumpulkan notifikasi anda yang tidak mustahak dan anda boleh pilih waktu untuk terima notifikasi itu. Untuk menghidupkan ciri ini, anda perlu pergi ke Settings, pilih Notifications. Kemudian pilih waktu yang sesuai untuk ringkasan notifikasi dihantar kepada anda. Di situ juga anda boleh pilih aplikasi yang sesuai untuk diletakkan di dalam Summary.
3. Safari
Bar URL Safari dipindahkan ke bahagian bawah. Apple melakukan kemaskini ini supaya pengguna dapat swipe antara tab menggunakan satu tangan dengan mudah. Melalui bar URL juga, anda boleh gunakan ciri mikrofon untuk melakukan carian dengan menggunakan suara.
Kemas kini ini juga mempunyai Tab Groups (Kumpulan Tab). Melaluinya, anda boleh simpan semua tab anda dan mengaksesnya semula dengan mudah pada bila-bila masa di semua peranti Apple.
4. Gambar ada banyak maklumat
Aplikasi Photos akan menunjukkan banyak maklumat tentang foto dan video yang anda ambil atau muat turun dari aplikasi serta laman web. Untuk melihatnya, anda hanya perlu pilih gambar atau video kemudian swipe ke atas. Gambar yang anda ambil akan menunjukkan maklumat seperti jenis peranti yang digunakan untuk mengambil gambar itu, tarikh, waktu serta lokasi. Imej yang disimpan dari aplikasi lain pula akan menyatakan maklumat tarikh disimpan dan dari mana ia diambil.
Di Memories juga ada ciri baru yang kelihatan seperti Tiktok. Anda boleh mencipta video dan masukkan muzik serta filters yang sesuai untuk video itu.
5. Maps
Apple memperbaiki reka bentuk Maps mereka dengan menambahkan paparan mercu tanda seperti dalam bentuk 3D. Contohnya seperti lokasi di California iaitu Jambatan Golden Gate yang terletak di San Francisco. Melalui kemaskini ini, anda boleh lihat perincian dengan lebih jelas pada peta dunia. Namun, ciri ini nampaknya belum ada di Malaysia, kerana mercu tanda KLCC tidak menghasilkan ciri 3D yang sama.
Selain itu, pengguna boleh mencari lokasi lebih mudah dengan kemas kini automatik yang disertakan semasa sedang menggunakan peta.
6. Aplikasi cuaca lebih terperinci
Kemas kini baru Apple juga menawarkan aplikasi cuaca (weather) yang sangat terperinci. Aplikasi ini mempunyai reka bentuk baru yang diperbaharui dengan carta cuaca, latar belakang animasi yang bergerak dan beberapa kemaskini lain. Apabila anda lihat ke bahagian bawah, ada peta suhu disediakan berdasarkan lokasi anda. Jika anda berada di Malaysia, anda akan dapat lihat peta lokasi berwarna oren seperti terbakar dan mungkin ia menggambarkan kepanasan cuaca.
Anda juga boleh melihat indeks UV, disitu ada dinyatakan peringatan untuk pengguna memakai pelindung matahari. Ada waktu matahari terbenam, serta maklumat angin dan hujan. Terdapat juga peta untuk kualiti udara, tetapi belum tersedia untuk Malaysia. Apple juga mengatakan bahawa anda akan menerima notifikasi tentang waktu hujan bermula dan berhenti.
7. FaceTime ada mod Potret
Anda kini boleh mengaktifkan Mod Potret dengan satu butang sentuhan semasa panggilan FaceTime. Sebaik sahaja anda membuat panggilan, anda perlu tekan pada wajah anda di skrin dan tekan ikon Mode Potret di atas kiri. Apabila latar belakang anda kabur, bererti mod ini sedang berfungsi.
Anda juga kini boleh melakukan FaceTime dengan kenalan yang memiliki peranti Android atau Windows, melalui penyemak imbas web mereka. Untuk memulakan panggilan, pengguna iOS perlu membuat pautan FaceTime dan berikan kepada kenalan. Untuk hasilkannya, anda hanya perlu buka aplikasi FaceTime dan klik Create Link.
Pada suku keempat tahun ini, SharePlay akan kongsikan cara kepada pengguna untuk mendengar lagu, menonton rancangan TV atau filem, serta berkongsi skrin dengan individu lain di FaceTime. SharePlay akan berfungsi dengan aplikasi seperti Apple Music, Apple TV +, dan Apple Fitness +, Disney+, ESPN+, HBO Max, Hulu, MasterClass, Paramount +, Pluto TV, SoundCloud, TikTok, Twitch, dananyak lagi.
8. Messages tambah pelekat baru
Semua foto dan video yang dihantarkan kepada anda melalui platform Messages, akan dikumpulkan dan disimpan dalam fail Shared with You di aplikasi Photos. Shared with You juga akan muncul di Safari, Apple News, Music, Apple Podcast serta aplikasi Apple TV. Ia akan memaparkan foto, artikel, muzik dan kandungan lain yang dikongsikan kepada anda melalui Messages. Di bawah gambar itu juga ada dinyatakan nama penghantar, jadi anda boleh melihat mesej yang berkaitan dan mulakan semula perbualan.
iOS 15 juga mengemaskini Memoji. Anda boleh memperbaharui penampilan anda dengan menambah pelekat seperti penutup kepala berwarna-warni, cermin mata bergaya, tiub oksigen dan topi keledar. Pelekat Memoji boleh disesuaikan dengan lebih dari 40 pilihan pakaian dan sembilan pelekat baru.
9. Live Text
Aplikasi Camera dan Photos mempunyai ciri baru yang dinamakan Live Text. Ia membolehkan anda secara automatik mengimbas subjek yang mengandungi teks. Untuk menggunakannya, anda boleh ikut langkah di bawah:
- Buka kamera
- Pastikan subjek ada di dalam bingkai kemudian tekan butang Live Text di kanan bawah
- Anda kemudian boleh terjemah, mencari lebih lanjut tentang teks itu, menyalin atau kongsi teks tersebut.
Anda juga boleh lakukan cara yang sama melalui gambar yang sudah di ambil. Namun, apabila saya cuba terjemahkan perkataan dari Bahasa Inggeris, ia hanya memberi cadangan terjemahan dari Bahasa China. Selain itu, saya dapati tiada pilihan Bahasa Melayu disediakan apabila saya ingin tukar bahasa terjemahan.
10. Notes
Di Notes kini anda boleh kategorikan nota anda dengan meletakkan hashtag. Anda juga boleh melakukan perkara seperti mengimbas dokumen (scan), pin nota dan mengunci nota menggunakan kata laluan atau ID sentuhan atau wajah.
Saya cuba scan buku mewarna sebagai dokumen dan ianya berhasil. Gambar yang sudah diimbas boleh disertakan di dalam nota.
Selain itu, anda juga boleh berkongsi nota kepada pengguna lain. Notes juga akan menyatakan perincian mengenai maklumat tentang siapa yang membuat sebarang perubahan disesebuah nota. Quick Notes yang dicipta pada Mac dan iPad juga boleh diakses melalui Notes.
Ciri iOS 15 lain yang dibangunkan Apple adalah berkaitan ciri kawalan privasi. Ia termasuklah pilihan menyesuaikan Switch Control untuk accessibility, tab perkongsian baru di aplikasi kesihatan dan banyak lagi.
Untuk mengetahui cara kemaskini iPhone ke iOS 15 dan senarai model yang boleh dipasang sistem ini, anda boleh ketahuinya lebih lanjut melalui artikel ini.
[Sumber: SoyaCincau, Apple]