Belum sempat telefon baru OPPO R15 Pro dilancarkan di Malaysia, hari ini OPPO mengumumkan satu lagi telefon pintar baru akan diperkenalkan di Malaysia. Sebenarnya, bukanlah baru sangat cuma ia edisi khas.
Memang dah menjadi tradisi OPPO untuk memperkenalkan edisi khas duta selebriti mereka bagi barisan telefon pintarnya. Hari ini mereka mengumumkan OPPO F7 x Neelofa Edition, khas untuk menyambut Hari Raya.
OPPO F7 x Neelofa Edition dinyatakan akan datang bersama kotak hadiah Hari Raya eksklusif, yang dipenuhi kejutan. Tidak pula dinyatakan apakah isi kotak hadiah tersebut, tetapi kita boleh melihatnya sedikit dari video teaser di atas.
Ada pelbagai peralatan melukis dan mewarna yang terletak di atas meja bersama kain putih. Mungkinkah ia datang dengan tudung Neelofa edisi khas OPPO F7? Tidak dapat dipastikan lagi jadi kena tunggu pengumuman lanjut dari OPPO. Cuma satu perkara yang jelas, Neelofa memegang OPPO F7 warna hitam.
Apa yang menarik bagi telefon edisi khas OPPO ni, biasanya harga akan kekal sama seperti edisi biasa, iaitu RM1,399. Harapnya betul lah. Dapat lebih hadiah tapi harga sama, jadi memang berbaloi kalau peminat OPPO nak dapatkan edisi khas ni nanti.
OPPO F7 adalah telefon pintar pakar swafoto kerana ia menggunakan kamera hadapan 25MP F2.0 yang dibantu dengan kuasa Beauty AI 2.0, untuk menghasilkan gambar swafoto yang lebih menarik. Kamera belakang pula 16MP F1.8.
Kuasa OPPO F7 digerakkan oleh pemproses Mediatek Helio P60, 4GB RAM dan 64GB storan. Ia memiliki skrin nirbingkai 19:9 bertakuk ala iPhone X, berukuran 6.23-inci dan resoluai FHD+ (2280×1080). Baterinya pula 3,400mAh.
Buat peminat Neelofa yang ingin mendapatkan telefon pintar OPPO, boleh tunggu edisi khas ini dilancarkan oleh OPPO tidak lama lagi. Khabarnya sebelum Hari Raya menjelang.