YouTube telah mengeluarkan senarai video yang popular di Malaysia pada tahun 2021. Mereka bahagikan kepada 5 kategori iaitu:
- Video paling sohor di Malaysia
- Video muzik paling sohor di Malaysia
- Pencipta kandungan paling popular di Malaysia
- Pencipta kandungan paling popular di Malaysia (kategori: Breakout)
- Pencipta Kandungan paling popular di Malaysia (kategori: Shorts)
Dalam senarai yang dikongsikan, dapat dilihat video dari luar Negara juga mendapat sambutan di Malaysia, terutamanya kandungan muzik video dan Shorts. Youtube mengambil kira pelbagai faktor untuk senarai ini termasuklah jumlah tontonan. Semua video yang tersenarai, dimuat naik pada tahun 2021.
Video paling sohor di Malaysia
Pada tahun ini, video yang paling sohor ialah video daripada saluran Astro Gempak iaitu drama Rindu Awak Separuh Nyawa episod 1. Dengan jumlah tontonan melebihi 2 juta, drama ini bukan sahaja popular di Youtube, malah ia juga pernah menjadi bualan peminat di media sosial lain seperti di Tiktok dan Instagram. Namun, hanya ada 4 episod penuh sahaja yang disediakan Astro untuk peminat tonton di Youtube. Selebihnya hanyalah promo sahaja.
Drama Spontan 31: Avengers versi Kelantan merupakan video kedua tersohor dalam senarai ini. Setakat ini, video dari saluran Syahmi Sazli ini sudah meraih sebanyak 2,398,510 jumlah tontonan. Jika kebanyakan video YouTube mengetengahkan selebriti yang sudah ada nama, namun menariknya video ini mengangkat bakat terpendam dari individu istimewa. Mungkin kerana itulah ramai yang menontonnya.
Seterusnya, video Mukbang Spicy Noodle DONA dari saluran Dona berada di kedudukan ketiga video paling sohor di Malaysia 2021. Dalam video ini, kelihatan dua rakan tersebut bersungguh-sungguh menghabiskan beberapa jenis makanan pedas, antaranya mee segera, tteokbokki dan makanan ringan. Mungkin video ini ditonton oleh penggemar makanan pedas. Pada tahun lalu juga, video dari saluran Dona ada menduduki carta ini dengan kandungan video yang hampir sama.
Berikut merupakan senarai penuh, 10 video paling sohor di Malaysia 2021:
- Astro Gempak – [EPISOD PENUH] Rindu Awak Separuh Nyawa – EP1
- Syahmi Sazli – Drama Spontan 31: Avengers versi Kelantan
- Dona – Mukbang Spicy Noodle DONA
- Aqil Zulkiflee – Aku beli mesin Ais Krim
- TV3MALAYSIA Official – [LIVE] Anugerah Juara Lagu 35 | #AJL35
- Kotte Animation – Pro Squid Game Players be like:
- PrinceMeed LIVE! – Muka aku hancur lepas orang ustaz dirasuk dalam rumah aku
- Ammar Nazhan – Rumah Am kena masuk peromp4k !!
- Horangi99 – Kena Kejar Dengan Kepala Gergasi
- Isa Isarb – Letak RM10,000 tepi kerete, Food Panda CURI atau TIDAK !?
Video muzik paling sohor di Malaysia
Lagu berjudul Adakah Ini Mimpi nyanyian artis baru Reedzwann mengungguli tempat pertama dalam kategori ini. Ini merupakan kesinambungan single rasmi pertamanya yang bertajuk Cinta Pandang Pertama. Sehingga kini, lagu tersebut sudah menerima lebih daripada 23 juta tontonan dan 289 ribu suka sejak ia dimuat naik pada 8 Mac 2021.
Jika anda pernah mengikuti drama Bidadari Salju di TV3, pasti anda tahu mengingati irama lagu Mimpi. Kerana lagu ini akan dimainkan sebelum dan selepas iklan serta pada penghujung drama itu. Mimpi berada pada kedudukan kedua dalam kategori video muzik paling popular. Lagu nyanyian Haqiem Rusli ini menerima lebih dari 22 juta tontonan sejak ia dimuat naik pada 7 Januari 2021.
Lagu hip hop tempatan berjudul Lotus nyanyian kumpulan ForceParkBois berada di kedudukan ketiga. Ia sudah mendapat lebih daripada 14 juta tontonan. Pasti ada dalam kalangan penggemar lagu rap menyukai lagu ini. Bagi saya, liriknya agak kompleks dan menyukarkan saya untuk fahami maksud yang ingin disampaikan. Namun, iramanya sangat catchy.
Berikut merupakan senarai penuh, 10 video muzik paling popular di Malaysia 2021:
- Reedzwann – Adakah Ini Mimpi
- Haqiem Rusli – Mimpi
- FORCEPARKBOIS – LOTUS
- Bruno Mars, Anderson .Paak, Silk Sonic – Leave the Door Open
- BTS – ‘Butter’
- Iman Troye – Pejam Celik Hari Raya
- LISA – ‘LALISA’
- Dhee ft. Arivu – Enjoy Enjaami
- Lia Aziz – Kucu Kuca
- ROSÉ – ‘On The Ground’
Pencipta kandungan paling popular di Malaysia
Untuk tahun 2021, Ammar Nazhan menduduki tangga pertama dalam kategori ini. Sehingga kini, saluran tersebut sudah mempunyai 1.4 juta subscribers (pengikut). Dia tidak tampil bersendirian di dalam video. Hampir setiap video nya, dijayakan bersama rakan-rakannya juga. Antara kandungan yang diketengahkan ialah vlog seperti melawat rumah baru Ammar, aktiviti bersama rakan-rakannya, prank, lakonan dan permainan. Bagi saya, kandungan video yang disediakan bersifat santai dan banyak hiburan.
Tangga kedua dimiliki oleh Aqil Zulkiflee. Dia mempunyai 1.35 juta subscribers. Kandungan video yang dihasilkan adalah berkaitan dengan dirinya seperti pengalaman membeli mainan, masak bersama ibunya dan pengalaman memancing ikan. Bagi saya, kandungan yang dihasilkan sangat menarik untuk ditonton, lebih-lebih lagi apabila Aqil beli mainan kanak-kanak dan mencubanya.
Menariknya, Isa Isarb masih lagi tercalon dalam kategori ini. Bezanya, pada tahun lalu dia berada pada kedudukan pertama, namun pada 2021 dia jatuh di tangga ke lapan. Dia kini mempunyai 2.31juta subscribers. Mungkin kerana PKP, tidak banyak kandungan video menarik dapat dilakukan. Bagi saya, kandungan yang paling menarik dihasilkan pada tahun ini ialah eksperimen sosial untuk melihat kejujuran individu, seperti video di bawah ini.
Berikut merupakan senarai penuh, 10 pencipta kandungan paling popular di Malaysia 2021:
- Ammar Nazhan
- Aqil Zulkiflee
- Alieff Irfan
- Che Nom
- Akiddos
- Ikhmal Nour
- Shuib Channel
- Isa Isarb
- MiawAug
- Frost Diamond
Pencipta kandungan paling popular di Malaysia (kategori: Breakout)
Kandungan breakout membawa maksud kandungan yang dihasilkan itu popular.
Dalam kategori ini, Ammar Nazhan sekali lagi berada di tangga pertama. Mungkin kerana kandungan video yang dihasilkan kebanyakannya ada unsur hiburan, ini menjadikannya sangat popular. Oleh kerana pelakon dalam videonya ramai dan setiap video pasti sahaja kelakar, adakalanya saya melihat kandungan yang dihasilkan ala-ala rancangan Running Man.
Kemudian, saluran yang dikategorikan sebagai ilmiah iaitu KerulSeries berada di kedudukan kelima. Jika anda gemar menonton kupasan mengenai kejadian tragis, seram dan fakta, ini merupakan saluran yang anda boleh kunjungi. Videonya juga tidak bosan, sebab host berkongsi cerita seperti berborak, cara dia bercakap laju dan ceritanya ringkas.
Selain itu, dua saluran yang unik dengan mengetengahkan karakter animasi iaitu Horangi99 dan lil lizat ada tersenarai dalam kategori ini. Horangi99 menduduki tangga ke enam dan lil lizat berada di kedudukan ke sepuluh.
Semua video yang dimuat naik dalam saluran Horangi99 adalah mengenai karakter Horangi yang menjalani kehidupan dalam dunia Roblox. Video yang disuarakan semula oleh pencipta kandungan, menjadikan ianya kelakar dan menarik untuk ditonton.
Manakala saluran lil lizat pula mengenai kehidupan seekor cicak bernama Lizat. Antara video yang dibawakan ialah kisahnya menjadi penghantar makanan, kehidupannya di sekolah dan perkara yang dilakukan bersama emaknya. Kisahnya ringkas dalam 2 minit sahaja.
Berikut merupakan senarai penuh, 10 pencipta kandungan paling popular di Malaysia, kategori breakout:
- Ammar Nazhan
- Akiddos
- Ikhmal Nour
- Shuib Channel
- KerulSeries
- Horangi99
- Imran Bard
- Amamijan
- Sharnaaz Ahmad Tv
- lil lizat
Pencipta kandungan paling popular di Malaysia (kategori: Shorts)
YouTube Shorts merujuk kepada ciri video pendek yang tampil hampir sama seperti Tiktok. Dalam kategori ini, nampaknya penduduk di Malaysia suka menonton Shorts dari seluruh dunia. Shorts hasil ciptaan Dan Rhodes berada di kedudukan pertama. Berdasarkan playlist Shorts yang dimuat naik olehnya, dapat dilihat video Shorts yang dikongsikan selama ini ada disertakan kandungan silap mata. Menonton cara dia melakukan aksi tersebut kelihatan sangat menarik dan mudah jika penonton ingin mencubanya.
Satu-satunya pencipta kandungan dari Malaysia yang berada dalam senarai ialah CK Yusoff. Berdasarkan salurannya, dapat dilihat dia sering berkongsi video yang bermanfaat mengenai kereta, contohnya cara membaiki kereta dan punca komponen kereta rosak. Dengan mengikuti saluran YouTube ini, penonton boleh jadikan video yang diongsikan sebagai rujukan untuk baiki kereta sendiri.
Berikut merupakan senarai 10 pencipta kandungan paling popular di Malaysia, kategori Shorts:
- Dan Rhodes
- Jake Fellman
- Miss Xiuu
- Yoeslan
- My.Ladyquinn
- Nas Daily
- CK Yusoff
- Julius Dein
- BAGAS CRAFT
- camman18
YouTube boleh dijadikan platform untuk mencari kandungan ilmiah dan hiburan. Maka, diharapkan agar Youtubers akan terus menyediakan video yang kreatif dan boleh memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.