Pada bulan Ogos tahun lepas, TikTok ada menguji had muat naik video sehingga 5 minit kepada sebahagian kecil pengguna. Malah ada juga ujian muat naik video sehingga 10 minit dijalankan. Menonton video dalam tempoh yang lama di Tiktok, boleh diibaratkan seperti menonton Youtube. Jika kandungan yang disiar membosankan, sudah tentu pengguna tidak berminat untuk terus menontonnya.
Dalam satu laporan mengenai maklumat yang diberikan oleh wakil TikTok, selepas ditinjau hampir separuh pangkalan penggunanya, didapati bahawa pengguna mengalami tekanan apabila menonton video dengan tempoh lebih dari satu minit. Hal ini berlaku kerana mereka tidak boleh tumpukan perhatian dalam masa yang lama.
Namun, bagi Tiktok, pengguna tidak tahu apa yang terbaik untuk platform itu. Bagi meningkatkan pendapatan mereka, Tiktok perlukan video yang lebih panjang supaya dapat lebih perhatian dari penonton, seterusnya mereka boleh menjual lebih banyak iklan. Menurut Meg Jing Zeng, seorang penyelidik TikTok di Universiti Zurich, peningkatan trafik di Tiktok membawa keuntungan, tetapi video yang lebih panjang boleh menjadi lebih menguntungkan. Selain itu, penghasilan video yang lebih panjang juga boleh bantu menambah umur pangkalan pengguna di TikTok. Contohnya, bagi golongan yang sudah terbiasa dengan video panjang seperti di YouTube.
Ketika Tiktok perkenalkan tempoh video yang lebih panjang kepada penggunanya, pesaingnya pula perkenalkan video pendek. Contohnya, Reels di Instagram, Spotlight di Snapchat dan Shorts di YouTube. Semua platform ini memaksimumkan video mereka pada tempoh satu minit.
Video pendek telah menyaksikan peningkatan populariti sejak dilancarkan. Tetapi, nampaknya Tiktok tidak lagi menjadi platform yang mengutamakan penghasilan video pendek daripada pengguna, tetapi mereka kini seperti lebih pentingkan tempoh video yang panjang supaya dapat peroleh lebih keuntungan. Mungkin satu hari nanti, Reels pula yang akan lebih popular daripada Tiktok dek kerana tempoh kandungan videonya yang lebih singkat.