Mungkin gara-gara mahukan perhatian, atau berlumba-lumba ingin jadi yang pertama menyebarkan berita, ada individu yang tidak bertanggungjawab kongsikan video dari permainan simulator tentera Arma 3 di Facebook Gaming, lalu mengatakan bahawa ia adalah rakaman siaran langsung serangan ke atas Ukraine oleh Rusia.
Video tersebut menjadi yang teratas di Facebook Gaming pada 24 Februari. Ia telah ditonton lebih dari 110 ribu orang dan dikongsi lebih 25 ribu kali. Namun, video itu telah dibuang selepas Bloomberg News menghubungi Meta, iaitu pemilik Facebook untuk meminta ulasan.
Facebook Gaming dipenuhi lebih 90 video palsu krisis di Ukraine
Pada hari yang sama, Facebook Gaming telah dipenuhi lebih 90 video Arma 3 dengan tajuk yang merujuk kepada krisis di Ukraine. Ada antara video itu disiarkan secara langsung selama enam jam. Pada awal hari tersebut, kelima-lima video Facebook Gaming yang paling banyak ditonton menggambarkan permainan video seolah-olah serangan tentera di Ukraine. Sesetengah video disertakan tajuk dalam bahasa Arab yang tertulis Russia Fighter Jets on Ukraine (jet pejuang Rusia di Ukraine) dan Live scenes of the Russian bombing of Ukraine (siaran langsung pengeboman Rusia di Ukraine).
Semua strim langsung yang teratas ini sebenarnya adalah video pra rakaman pesawat yang menembak pantai, dalam permainan Arma 3. Seramai 52 ribu penonton menontonnya secara siaran langsung. Selain itu, pemilik saluran yang menggunakan Naruto, berulang kali meminta penonton untuk mengikuti salurannya dalam ruang sembang yang disertakan.
Selain itu, ada juga video yang dilengkapi dengan papara banner “Breaking News”. Penciptanya pula meletkkan komen bahawa strim langsung itu adalah dari sempadan Ukrain dan dirakam oleh seorang wartawan. Video tersebut menerima sebanyak 8,000 penonton.
Manakala, video Inggeris teratas pada pagi itu adalah bertajuk Russia Fighter Jets on Ukraine dan disertakan banner “Breaking News” berwarna merah. Walaupun video tersebut dilabelkan Arma 3, penonton dalam ruang sembang masih mempersoalkan sama ada itu adalah rakaman sebenar pencerobohan yang berlaku.
Media sosial lain juga dipenuhi rakaman palsu
Meta sudah lama bergelut untuk mengurangkan berita yang mengelirukan atau palsu, termasuk mengenai pilihan raya dan Covid-19. Tetapi, menurut pakar, untuk mengurus video adalah lebih sukar daripada teks, terutamanya video langsung. Hal ini berlaku kerana AI sukar untuk menganalisisnya.
Selain itu, ada banyak media sosial lain alami perkara yang sama. Contohnya, di Twitter, pengguna menyebarkan video konflik sebelumnya dan mengatakan bahawa itu adalah rakaman sebenar serangan yang berlaku sekarang. Ada juga yang menyiarkan klip permainan dari Arma 3 beserta kapsyen “Ukraine fires missiles to intercept Russian aircraft’s artillery fire” (Ukraine menembak peluru berpandu untuk memintas tembakan pesawat Rusia). Namun, video ini telah dipadam oleh pihak Twitter.
Kemudian, di TikTok pula dilaporkan ada strim langsung palsu muncul daripada pengguna yang mengatakan mereka berada di Ukraine dengan berlatar belakangkan bunyi tembakan, lalu mengambil kesempatan untuk meminta wang derma.
Jaga-jaga dengan video palsu
Naib Presiden Hal Ehwal Global Meta, Nick Clegg dalam satu Tweet mengumumkan petubuhan Special Operations Center untuk memerangi maklumat salah dan menambah perlindungan privasi untuk pengguna Ukraine.
The situation in Ukraine is devastating. Our teams at Meta have implemented a number of measures to keep our platforms and our users in the region as safe as we can. This is a fast moving situation and our teams remain on high alert. pic.twitter.com/8wFgx7muKG
— Nick Clegg (@nickclegg) February 25, 2022
Apabila menggunakan media sosial, anda perlulah pentingkan kesahihan berita sebelum percaya dan sebarkannya. Jangan tularkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan dan jugak perasaan panik dalam kalangan masyarakat. BBC ada menyediakan tips ringkas untuk mengesan berita palsu. Berikut merupakan caranya:
- Semak sumber berita sama ada sah atau pun meragukan.
- Periksa bahasa yang digunakan. Adakah ia sensasi atau sarat dengan istilah.
- Zum ke dalam imej untuk semak lokasi. Contohnya lihat papan tanda jalan atau kedai, yang ada dalam gambar atau video.
- Periksa akaun individu yang kongsikan berita, lihat berapa banyak informasi yang dinyatakan dan adakah ia sepadan dengan biodatanya. Lihat juga nama yang digunakan jika ia meragukan.