Intel telah mendedahkan produk GPU yang sedang mereka bangunkan selepas berduyun-duyun spekulasi, teaser, dan hint diutuskan ke dalam arena Internet. Berikut adalah segala yang perlu anda tahu tentang Intel Arc Graphics.
3 kelas GPU untuk laptop
Sebagai permulaan, mereka memperkenalkan GPU untuk laptop. Intel Arc untuk laptop terbahagi kepada tiga kategori, sama macam pengkelasan pada CPU mereka. Untuk GPU, anda akan jump akelas Intel ARC 3, Intel ARC 5 dan Intel ARC 7.
ARC 3 ditujukan pada komputer ultrakompak tapi masih perlukan tenaga pemproses grafik untuk tugasan-tugasan berat.
ARC 5 ditujukan pada laptop gaming kasual yang kebanyakannya berkisarkan disekitar tajuk-tajuk e-Sport macam Fornite, CS:GO, Rocket League, dan sebagainya.
ARC 7 ditujukan pada laptop gaming hardcore yang menjalankan permainan berkelas AAA pada resolusi melebihi 1080p.
Xe Super Sampling: Jawapan Intel kepada DLSS Nvidia dan FidelityFX Super Resolution AMD
Xe Super Sampling (XeSS) adalah teknologi baharu yang akan tiba bersama-sama pelancaran ARC 5 dan ARC 7 kelak. Lebih menarik, XeSS juga akan menyokong ARC 3 melalui kemas kini firmware.
Ia adalah teknologi yang menskalanaikkan media 1080p kepada 4K hasil algoritma AI. Walaupun paparan komputer tidak menyokong resolusi 4K, manfaat masih boleh dirasai pada sudut kualiti gambar yang lebih tinggi.
XMX acceleration: Enjin AI yang mempercepat penghasilan dan mempertingkat kualiti kandungan
XMX adalah gelaran yang diberikan kepada enjin AI yang terpateri di atas produk Intel ARC. Antara kegunaan yang didemonstrasikan Intel adalah pendigitalan kandungan media analog dan pada masa yang sama ia mempertingkat kualiti untuk dilayani melalui paparan 4K masa ini.
Bezanya dengan Intel Iris yang kita ada sekarang adalah pemerosesannya dua kali ganda lebih pantas.
Codec AV1: Intel yang pertama menyokongnya untuk kategori perkakasan
AV1 adalah codec yang dikatakan akan menggantikan codec dalam keluarga AVC seperti H.264 dan HEVC kerana AV1 adalah sumber terbuka dan tidak perlukan lesen untuk digunakan. Intel berbangga yang ARC mereka adalah perkakasan pertama yang menyokong codec ini.
Apay ang ingin mereka ketengahkan adalah, pemerosesan data pada peringkat perkakasan adalah 50 kali lebih pantas berbanding solusi menggunakan perisian. Tambahan pula, AV1 lebih cekap berbanding pesaingnya daripada segi bitrate.
Maka kandungan berkualiti tinggi tidak akan memakan ruang storan yang banyak dan kualiti penstriman berkualiti tinggi boleh dicapai walaupun menggunakan jalur bitrate rendah.
Intel Deep Link: Teknologi pemupuk sinergi antara GPU dengan CPU
Deep Link adalah ciri yang membolehkan CPU dan GPU berkongsi bebanan pengkomputeran antara satu sama lain. Hasilnya prestasi boleh dipertingkat setinggi 30%.
Kesemua ciri-ciri menarik pada ARC boleh dikawal daripada satu pusat sehenti melalaui APP yang dipanggil ARC Control.
Samsung Galaxy Book2 Pro: Laptop pertama yang ada Intel ARC
Intel mengumumkan yang Samsung Galaxy Book2 Pro adalah ultrabook pertama yang menyokong Intel ARC. Laptop ini dilengkapi dengan ARC 3, varian A350M dan sudah mula boleh ditempah pada harga bermula USD1,050 (RM4,414).