Bersama-sama pelancaran Mi Pad 4 di China, Xiaomi turut memperkenalkan seorang lagi ahli Redmi yang dikenali sebagai Redmi 6 Pro. Ia adalah sebuah Xiaomi Mi A1 dengan paparan bertakuk.
Sebab saya mengatakan ia adalah Mi A1 adalah kerana ia masih menggunakan CPU yang agak lapuk iaitu Snapdragon 625, seakan Xiaomi telah memborong secara pukal CPU itu daripada Qualcomm dan kini mereka berusaha untuk menghabiskannya untuk memberi ruang pada cip mid-range yang baru dalam kilang.
Keunikan telefon ini adalah pada kehadiran tiga slot masing-masing untuk digunakan pada 2 kad SIM dan 1 kad mikro SD yang jarang-jarang ditampilkan oleh pengeluar itu.
Skrin bertakuknya pula mempunya bingkai yang tak simetri dan boleh dilihat pada bahagian dagu yang lebih luas daripada bahagian dahi. Daripada segi estetik, ia mungkin menjengkelkan pada sesetengah orang.
Namun begitu, pada segi spesifikasi, ia adalah telefon yang cukup-cukup makan. Selain Snapdragon 625, anda akan menemui RAM sehingga 4GB serta storan sehingga 64GB pada papan utamanya.
Pada bahagian pengimejan, anda dibekalkan dengan dwikamera belakang 12MP+5MP yang diperkasa EIS manakal kamera depan menggunakan sensor 5MP dengan fungsi beautification.
Di China, harga varian-varian Redmi 6 Pro adalah seperti berikut:
- RAM 3GB + storan 32GB – RMB 999 (RM613)
- RAM 4GB + storan 32GB – RMB 1,199 (RM735)
- RAM 4GB + storan 64GB – RMB1,299 (RM797)