Ujian Makro, Kejituan Warna, & HDR
Makro
Dalam ujian makro, kami letakkan sebatang landasan kamera di atas meja dan pada landasan itu terdapat senggatan dalam unit milimeter (mm). Kamera ditambat pada landasan itu dan kami cuba mengambil gambar subjek sehampir mungkin untuk mencari jarak minimum yang mampu difokus oleh telefon.
Galaxy Note8 dan Mate 10 Pro mencatatkan jarak fokal minimum paling pendek iaitu 20mm. Ia bermakna anda boleh berada sehampir 2cm kepada subjek dan masih berjaya membidik fokus. Sebaliknya pada iPhone X dan iPhone 8 Plus ia memerlukan sekurang-kurangnya 30mm untuk membidik.
Yang baiknya tentang gambar makro hasilan kedua-dua iPhone adalah White Balance-nya konsisten dan menyamai dunia sebenar berbanding Android yang agak “ke laut”.
Kejituan Warna
Kesemua telefon menampilkan kejituan warna yang tinggi. Tetapi iPhone 8 Plus memiliki tahap kepekatan yang lebih tinggi lebih-lebih lagi pada warna jingga dan hijau.
Kecuali Mate 10 Pro, tiga baki telefon mempunyai profil warna yang lebih sejuk ataupun menjurus kepada biru sedangkan Mate 10 Pro lebih panas ataupun lebih jingga.
High Dynamic Range (HDR)
Gambar HDR yang baik adalah yang mampu merakam butiran sebanyak mungkin dari bahagian cerah dan gelap persekitaran yang dilihatnya. Misalnya, mengambil gambar dari dalam pejabat ke luar tingkap memberikan cabaran pada kamera kerana ia perlu melihat butiran pada persekitaran gelap pejabat dan juga persekitaran cerah di luar.
Untuk ujian HDR ini, kedua-dua iPhone berjaya menghasilkan gambar yang baik. Mereka menyuntik lebih banyak warna panas untuk menjadikan gambar kearah jingga. Dua wakil Android pula menghasilkan gambar yang lebih sejuk.
Jika dizum pada kawasan gelap dan cerah, prestasi HDR kesemua telefon akan teruji.
Contohnya, pada Mate 10 Pro, kawasan cerah dilihat kurang kontrast dan warnanya agak suram. Kualiti tersebut turut boleh dilihat pada kawasan gelap. Berbeza pula dengan iPhone 8 Plus dan Galaxy Note 8, mereka masih mampu mengekalkan perincian pada kawasan gelap dan cerah.