Pengenalan
Boleh tak bayangkan, pengecas telefon pintar boleh digunakan untuk mengecas laptop juga? Mungkin sukar untuk anda terfikir, tetapi sudah banyak laptop baru seperti Macbook, kini mengecas melalui port USB-C.
Tetapi tidak semua pengecas USB-C terutama sekali pengecas telefon pintar boleh digunakan untuk mengecas laptop. Ini kerana ia memerlukan aliran kuasa yang lebih tinggi dari 10W (5V/2A).
Untuk itu, pakar kuasa dan tenaga Innergie, menghasilkan pengecas PowerJoy 30C. Ia adalah pengecas kompak seperti pengecas telefon pintar, tetapi boleh juga digunakan untuk mengecas laptop yang menggunakan pengecas USB-C.
Rekabentuk
Perumah pengecas PowerJoy 30C diperbuat dari plastik dalam bentuk empat segi sama. Bersamanya disertakan tiga jenis kepala kuasa: tiga pin yang digunakan di Malaysia, 2 pin bulat dan 2 pin rata.
Rekaan sisi perumah PowerJoy 30C ini condong ke dalam. Ia direka sebegini agar lebih mudah untuk ditarik keluar.
Tarikan utama PowerJoy 30C ini adalah kebolehan kepala kuasanya diputar 360-darjah. Dengan ini, ia boleh diubah kedudukan untuk memberi ruang kepada apa jua benda lain diletakkan di sebelahnya.
Tetapi ia tidak boleh dipusing terus 360 darjah. Sebaliknya ia hanya boleh diputar 180 darjah sahaja. Untuk sudut lain, ia perlu dicabut semula dan dipusing sebelum dipasang semula. Barulah lengkap boleh diputarkan 360-darjah.
Terdapat satu lampu LED berwarna biru pada pengecas ini. Ia akan menyala apabila dibekalkan tenaga dan sedia untuk digunakan.
Pemberian tiga kepala kuasa universal ini memang sangat baik. Tetapi ketiadaan kabel disertakan agak membantutkan penggunaan. Pasti ia lebih menggembirakan jika kabel terdapat sama di dalam kotak.
Spesifikasi teknikal
Terdapat dua port pada pengecas PowerJoy 30C iaitu port USB-A bersaiz penuh dan port USB-C.
Ia menyokong aliran tenaga dengan kuasa:
USB-A
- 5V/2.4A (12W)
USB-C
- 9V/3A (27W)
- 12V/3A (36W)
- 15V/2A (30W)
- 20V/1.5A (30W)
USB-A + USB-C
- 5V/5.4A
Untuk penggunaan satu port dalam satu masa, ia boleh memberi tenaga sehingga 12W di USB-A dan 30W di USB-C. Tetapi jika mahu menggunakan kedua-dua port serentak, ia boleh mengalirkan tenaga gabungan sehingga 27W (5V/5.4A) sahaja.
Innergie membekalkan cip InnerShield pada PowerJoy 30C yang memberi 5 tahap perlindungan dari bahaya arus, voltan, suhu, tenaga berlebihan ataupun litar pintas. Manakala teknologi Smartboost padanya mengenal pasti peranti yang ingin dicas dan membekalkan tenaga yang bersesuaian.
Pengalaman penggunaan
Pengecas PowerJoy 30C memberi masa pengecasan yang baik untuk telefon pintar dan mampu mengecas laptop yang menggunakan tenaga dari USB-C.
Penggunaan serentak untuk mengecas memang sangat membantu kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa, malah menjimatkan ruang. Tidak perlu lagi membawa pengecas berbeza untuk telefon pintar dan laptop.
Kebolehan kepalanya diputarkan 360-darjah juga sangat berguna. Ia telah menyelesaikan satu masalah kesempitan ruang yang tidak dijangka, seperti di hotel atau restoran.
Tetapi terasa juga kekurangan apabila ia tidak menyokong pengecasan pantas Qualcomm QuickCharge. Mengecas peranti yang menyokong QuickCharge menggunakan Powerjoy 30C, tidaklah sepantas pengecas asal yang menyokong QuickCharge.
Kesimpulan
Innergie telah menghasilkan satu produk yang sangat berguna dalam dunia digital masa kini. Dengan memiliki Powerjoy 30C pengguna tidak perlu lagi membawa kepala pengecas berbeza untuk telefon pintar dan laptop.
Pengecas Powerjoy 30C ini memang sangat sesuai untuk digunakan oleh mereka yang sering merantu ke luar negara, kerana ia disertakan 3 kepala kuasa yang boleh digunakan di hampir seluruh negara di dunia.
Tetapi Innergie boleh memperbaiki bungkusan Powerjoy 30C dengan turut memberikan kabel USB di dalamnya. Apatah lagi dengan tanda harga RM189, ianya memang lebih mahal dari pengecas biasa lain, tetapi masih murah jika dibandingkan dengan dua pengecas yang berkualiti. Apatah lagi jika kabel disertakan, ia memang pengecas yang sempurna untuk dimiliki.
Seperkara lagi, ketiadaan sokongan Qualcomm QuickCharge pada Powerjoy 30C juga agak terasa. Perbezaan masa mengecas telefon pintar yang menyokong QuickCharge, sekitar 30 ke 60 minit perlahan menggunakan Powerjoy 30C dibandingkan dengan pengecas QuickCharge.
Pendek kata, jika anda mahu sesuatu yang kompak, mudah dibawa dan boleh mengecas laptop dan telefon pintar serentak, Powerjoy 30C adalah satu pilihan yang baik.
Bila difikirkan semula, untuk mengecas peranti sahaja ia mungkin pengecas yang agak mahal. Tetapi untuk pengecas laptop USB-C , ia sangat murah apatah lagi dengan dua port USB dan tiga kepala kuasa. Lebih murah dari pengecas USB-C Macbook 29W yang berharga RM229 di Apple Store Malaysia.
Kalau berminat untuk memilikinya, pengecas Innergie Powerjoy 30C telah pun dijual di Malaysia dengan harga RM189 bersama jaminan selama 3 tahun. Ia kini boleh dibeli di Switch Malaysia dan Urban Republic Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web Innergie Powerjoy 30C.