Sistem pengecaman wajah FACES lancarkan operasi AirAsia

Untuk melancarkan lagi perjalanan penumpang, AirAsia hari ini melancarkan Fast Airport Clearance Experience System atau F.A.C.E.S. Ia merupakan sistem pengecaman wajah di pintu perlepasan, tanpa perlu mempamerkan dokumen perjalanan.

Pelancaran ini dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru di mana ia merupakan lapangan terbang pertama di Malaysia dilengkapi sistem ini, dan pertama seumpamanya di Asia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Nur Jazlan menyempurnakan majlis pelancaran ini. Ia disaksikan bersama Pengerusi Pelancongan Johor, Datuk Tee Siew Kiong; CEO Senai Airport, Md Derick Basir serta Timbalan CEO Kumpulan AirAsia, Aireen Omar.

Sistem F.A.C.E.S boleh digunakan oleh mana-mana penumpang AirAsia yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Hanya daftarkan sekali di kiosk pendaftaran F.A.C E.S menggunakan kad pengenalan atau pasport, kemudian turuti langkah biasa daftar masuk bagasi, pemeriksaan keselamatan dan imigresen.

Apabila dipanggil untuk menaiki kapalterbang, hanya imbas muka di stesen F.A.C.E.S dan sedia masuk ke pesawat tanpa perlu mempamerkan dokumen fizikal.

F.A.C.E.S adalah salah satu sistem baharu yang diperkenalkan AirAsia dan akan diperluaskan ke lapangan terbang lain di Malaysia tidak lama lagi. AirAsia juga kini sedang menaik taraf sistem daftar masuk bagasi, di mana ia membolehkan penumpang membuat daftar masuk bagasi sendiri tanpa perlu berinteraksi dengan pegawai di kaunter.

BACA  HTC U12 Life mula terima tempahan untuk jualan bulan ini