KELEBIHAN
+ Dwi sambungan wayarles Bluetooth atau USB Unifying Receiver
+ Sensor Darkfield 4000-dpi boleh digunakan di atas kaca
+ Dwi mod skrol, pantas tanpa sekatan atau skrol jitu klik-ke-klik
KEKURANGAN
– Janggal tiada butang di roda skrol
– Tiada ruang menyimpan USB Unifying Receiver dalam tetikus
Gaya hidup pantas dan sering bergerak membuatkan ramai orang menggunakan komputer riba atau laptop. Walaupun laptop dilengkapi papan kekunci dan trackpad, pastinya masih selesa menggunakan tetikus untuk menyelesaikan pelbagai tugasan di laptop.
Tetapi penggunaan tetikus biasa bersaiz besar dan berwayar seperti tidak berapa ngam dengan laptop. Untuk itu, terdapat banyak tetikus bersaiz kecil dan tidak berwayar yang dihasilkan.
Salah satu darinya adalah dari pakar tetikus dan papan kekunci, Logitech dengan tetikus MX Anywhere 2S. Ia adalah sedikit naik taraf dari model yang hampir sama, tetikus MX Anywhere 2. Sebab itu namanya ditambah ‘S’ sahaja di belakang.
Logitech menjual tetikus MX Anywhere 2S ini pada harga RM339, satu nilai yang agak premium jika dibandingkan dengan tetikus kompak wayarles yang lain.
Tetapi berbaloikah harga yang dibayar ini dengan fungsi yang terdapat di dalamnya? Mari kita kaji bersama.
Rekabentuk
Keseluruhan badan MX Anywhere 2S diperbuat dari plastik yang dirasakan premium, dengan kemasan getah bertekstur di bahagian tepi. Dari rupa luaran ini, ia sememangnya terasa jauh premium dari tetikus biasa.
Saiz tetikus ini sememangnya kecil dari biasa, lebih kurang muat 2/3 tapak tangan lelaki. Tetapi ruang butang kiri dan kanan mempunyai panjang yang mencukupi untuk meletakkan jari telunjuk dan jari tengah.
Seperkara lagi, tetikus ini mempunyai rekaan ambidexterous, bermakna ia sesuai untuk penggunaan tangan kanan dan kiri. Tetapi butang ibu jari hanya terdapat di sebelah kiri, bermakna butang ini hanya boleh digunakan dengan tangan kanan. Selain ini, ia memang selesa digunakan tangan kanan dan kiri.
Secara keseluruhan, terdapat 7 butang pada Anywhere MX 2S termasuk butang ke kiri dan kanan di roda skrol. Butang ini boleh diubahsuai penggunaannya melalui perisian Logitech Options.
Di bahagian hadapan tetikus, terdapat port mikroUSB yang digunakan untuk mengecas bateri yang tidak boleh dicabut di dalam.
Di bahagian bawah tetikus pula, terdapat butang kuasa, sensor lazer dan butang menukar sambungan wayarles kepada tiga peranti berbeza. Ia juga mempunyai tapak gelungsur di empat sudut, yang memberikan kelancaran semasa menggerakkan tetikus.
MX Anywhere 2S mempunyai dua jenis sambungan wayarles, samada melalui Bluetooth ataupun USB Unifying Receiver melalui dongle yang dicucuk di port USB. Masalahnya, dongle USB ini tidak boleh disimpan di dalam badan tetikus seperti kebanyakan tetikus wayarles lain. Jadi ia mudah hilang jika tidak dijaga dengan teliti.
[nextpage title=”Pengalaman Penggunaan”]
Kehebatan tetikus Logitech Anywhere MX 2S adalah seperti namanya, kerana ia boleh digunakan di atas pelbagai permukaan, termasuk kaca. Ini adalah satu perkara yang tidak boleh ditemui pada tetikus biasa.
Keupayaan ini diperolehi melalui sensor laser Darkfield setinggi 4,000-dpi. Tetapi dinyatakan ia boleh digunakan di permukaan kaca yang mempunyai ketebalan sekurangnya 4mm. Rasanya ia bukan masalah kerana kebanyakan meja memang lebih tebal dari ini.
Ini menjadikan Anywhere MX 2S pasangan penting dan boleh dipercayai untuk digunakan di mana jua dan pelbagai permukaan. Tidak kiralah di pejabat, kedai kopi, lapangan terbang mahupun dalam kenderaan, ia sedia bertugas di samping laptop anda.
Penulis telah mencuba sendiri menggunakan di atas kaca tv, kaca peti sejuk, malah di kaca pintu lutsinar juga. Ia memang boleh berfungsi dengan baik.
Malah, sambungan Bluetooth juga mempunyai capaian wayarles yang baik. Walaupun dari jarak sejauh ~5 meter dari laptop, ia masih memberi respon yang cemerlang. Jika menggunakan USB Unifying Receiver, capaian wayarles boleh pergi lebih jauh. Sesuai digunakan untuk pembentangan slaid di bilik yang besar.
Pemasangan melalui Bluetooth sangat mudah. Hanya tekan dua butang ibu jari di sisi kiri bersama butang tengah di atas skrol sehingga lampu berkelip pantas. Kemudian pilih MX Anywhere 2S di laptop. Sehingga 3 laptop berbeza boleh disambung dan diingati oleh tetikus ini, dengan cara memilih butang no 1, 2 dan 3 di bawah tetikus.
Dua butang utama kiri dan kanan memberi respon menekan yang baik, tetapi ia agak bising jika dibandingkan dengan tetikus Silent Mouse Logitech. Butang ibu jari di sebelah kanan juga terletak di posisi yang bagus dan tidak mengganggu. Tidak pernah sekali pun tersalah tekan butang di tepi ini.
Dwi-mod Roda Skrol
Satu lagi keunikan dan kelebihan MX Anywhere 2S adalah roda skrolnya. Roda skrol ini mempunyai dua mod, mod lancar dengan pusingan pantas hingga ke hujung, atau skrol dengan penuh ketepatan klik-klik. Bertukar mod ini sangat mudah, hanya tekan roda skrol sedikit kuat dan anda dapat merasakan terus perbezaan kedua-dua mod ini.
Tetapi roda skrol sebegini membuatkan penggunaan tetikus ini sedikit janggal. Ini kerana ia tidak boleh digunakan sebagai butang tengah tetikus. Sebaliknya Logitech menggantikan butang tengah ini dengan menambah butang di atas roda skrol.
Mula-mula guna memang sering tersilap tekan roda skrol, tapi lama-kelamaan jadi biasa menggunakan butang tengah di atas roda skrol. Cuma bila guna tetikus lain, terasa janggal semula.
Hayat Bateri
MX Anywhere 2S menggunakan bateri terbina dalaman yang tidak boleh dicabut sendiri. Tetapi ini bukan masalah besar kerana ia memberi jangka hayat yang panjang. Menurut Logitech, penggunaan 8 jam sehari boleh membuatkan ia bertahan selama 70 hari.
Penulis sendiri telah menggunakan selama sebulan, masih belum perlu mengecasnya semula. Tetapi ini juga bukan masalah kerana tetikus ini dicas menggunakan sambungan mikroUSB.
Jika bateri habis, hanya sambungkan kabel mikroUSB untuk mengecas dan ia boleh terus digunakan ketika mengecas, menjadikan ia tetikus wayar semula.
Logitech Flow
Tetikus MX Anywhere 2S bukan sahaja boleh digunakan di pelbagai komputer, malah ia boleh digunakan serentak di dua komputer. Penggunaannya tidak terhad kepada gerakan tetikus, tetapi memindahkan fail dari satu komputer ke komputer lain.
Pengguna perlu memasang perisian Logitech Flow terlebih dahulu di kedua-dua komputer yang ingin digunakan. Kemudian pastikan kedua-dua komputer ini sudah disambungkan dengan tetikus samada melalui Bluetooth atau USB Unifying Receiver. Kedua-dua komputer juga perlu bersambung ke WiFi yang sama.
Selepas itu, kedua-dua komputer boleh digunakan untuk memindahkan fail antara satu sama lain, hanya dengan menggerakkan tetikus untuk drag-and-drop seperti biasa di komputer. Ia juga boleh digunakan untuk membuat salinan teks dari satu komputer ke komputer lain hanya dengan gerakan tetikus.
Kesimpulan
Logitech MX Anywhere 2S memang tetikus yang amat hebat. Ia memiliki banyak fungsi yang tidak terdapat pada tetikus wayarles yang lain.
Ini juga menjadikannya sebuah tetikus premium dengan harga yang lebih tinggi dari biasa. Dengan teknologi seperti sensor Darkfield 4000-dpi yang boleh digunakan di atas kaca, dwi-mod roda skrol dan dwi-sambungan wayarles, memang tidak salah untuk Logitech meletakkan harga RM339 pada tetikus ini. Satu harga yang berbaloi untuk fungsi secanggih ini. Apatah lagi, tidak boleh ditemui di tetikus lain.
Cuma, penambah baikan yang Logitech boleh buat untuk model MX Anywhere yang akan datang adalah dengan menyediakan ruang penyimpanan dongle USB Unifying Receiver serta butang roda skrol yang biasa. Jika butang di atas roda skrol dijadikan sebagai pengubah dwi-mod roda skrol dilihat lebih praktikal. Tidaklah kekok jika menggunakan tetikus yang lain.
Jika anda mempunyai bajet besar, maka tetikus Logitech MX Anywhere 2S ini adalah tetikus terbaik untuk dijadikan teman laptop anda. Jika kurang bajet, tetikus lain masih boleh digunakan tetapi dengan fungsi asas sahaja. Tidak secanggih MX Anywhere 2S ini.
Tetikus ini boleh dibeli menerusi Stor Logitech di Lazada: Logitech MX Anywhere 2S.