[REVIU] Logitech MX Anywhere 2S, berbaloi ke pakai tetikus mahal?

Pendahuluan

KELEBIHAN
+ Dwi sambungan wayarles Bluetooth atau USB Unifying Receiver
+ Sensor Darkfield 4000-dpi boleh digunakan di atas kaca
+ Dwi mod skrol, pantas tanpa sekatan atau skrol jitu klik-ke-klik

KEKURANGAN
– Janggal tiada butang di roda skrol
– Tiada ruang menyimpan USB Unifying Receiver dalam tetikus

Gaya hidup pantas dan sering bergerak membuatkan ramai orang menggunakan komputer riba atau laptop. Walaupun laptop dilengkapi papan kekunci dan trackpad, pastinya masih selesa menggunakan tetikus untuk menyelesaikan pelbagai tugasan di laptop.

Tetapi penggunaan tetikus biasa bersaiz besar dan berwayar seperti tidak berapa ngam dengan laptop. Untuk itu, terdapat banyak tetikus bersaiz kecil dan tidak berwayar yang dihasilkan.

Salah satu darinya adalah dari pakar tetikus dan papan kekunci, Logitech dengan tetikus MX Anywhere 2S. Ia adalah sedikit naik taraf dari model yang hampir sama, tetikus MX Anywhere 2. Sebab itu namanya ditambah ‘S’ sahaja di belakang.

Logitech menjual tetikus MX Anywhere 2S ini pada harga RM339, satu nilai yang agak premium jika dibandingkan dengan tetikus kompak wayarles yang lain.

Tetapi berbaloikah harga yang dibayar ini dengan fungsi yang terdapat di dalamnya? Mari kita kaji bersama.

Rekabentuk

Keseluruhan badan MX Anywhere 2S diperbuat dari plastik yang dirasakan premium, dengan kemasan getah bertekstur di bahagian tepi. Dari rupa luaran ini, ia sememangnya terasa jauh premium dari tetikus biasa.

Saiz tetikus ini sememangnya kecil dari biasa, lebih kurang muat 2/3 tapak tangan lelaki. Tetapi ruang butang kiri dan kanan mempunyai panjang yang mencukupi untuk meletakkan jari telunjuk dan jari tengah.

Seperkara lagi, tetikus ini mempunyai rekaan ambidexterous, bermakna ia sesuai untuk penggunaan tangan kanan dan kiri. Tetapi butang ibu jari hanya terdapat di sebelah kiri, bermakna butang ini hanya boleh digunakan dengan tangan kanan. Selain ini, ia memang selesa digunakan tangan kanan dan kiri.

BACA  3 Penambahbaikan Pada Google Pixel 3 Yang Anda Perlu Tahu

Secara keseluruhan, terdapat 7 butang pada Anywhere MX 2S termasuk butang ke kiri dan kanan di roda skrol. Butang ini boleh diubahsuai penggunaannya melalui perisian Logitech Options.

Di bahagian hadapan tetikus, terdapat port mikroUSB yang digunakan untuk mengecas bateri yang tidak boleh dicabut di dalam.

Di bahagian bawah tetikus pula, terdapat butang kuasa, sensor lazer dan butang menukar sambungan wayarles kepada tiga peranti berbeza. Ia juga mempunyai tapak gelungsur di empat sudut, yang memberikan kelancaran semasa menggerakkan tetikus.

MX Anywhere 2S mempunyai dua jenis sambungan wayarles, samada melalui Bluetooth ataupun USB Unifying Receiver melalui dongle yang dicucuk di port USB. Masalahnya, dongle USB ini tidak boleh disimpan di dalam badan tetikus seperti kebanyakan tetikus wayarles lain. Jadi ia mudah hilang jika tidak dijaga dengan teliti.