Tak Perlu Kad, Ini Caranya Anda Boleh Mula Naik LRT Guna APP Touch ‘n Go

Pelopor penyedia perkhidmatan pembayaran nirtunai tersohor negara, Touch ‘n Go (TNG) telah melancarkan satu produk baru pada APP TNG mereka. Kini pengguna APP TNG boleh menaiki tren hanya berbekalkan telefon pintar mereka.

Apabila anda berada di pintu masuk LRT, anda boleh mengimbas kod QR khas yang dipaparakan pada APP TNG dan bayaran tren akan ditolak terus daripada dompet digital TNG.

Walau bagaimanapun, produk ini masih dalam tempoh percubaan dan hanya melibatkan 7 stesen LRT terpilih, semuanya berada dalam laluan Kelana Jaya.

Tujuh stesen yang terlibat adalah:

  1. Kelana Jaya
  2. Universiti
  3. kerinchi
  4. KL Sentral
  5. Dang Wangi
  6. KLCC
  7. Ampang Park

Oleh sebab masih dalam percubaan, anda perlu mendaftarkan diri menjadi salah seorang “beta tester” untuk menikmati kemudahan ini. Reruai TNG kini dibuka di stesen Universiti dan mereka sedang mencari 1,000 pengguna LRT untuk menjadi “beta tester”.

Reruai pendaftaran tester di stesen Universiti

Selesai mendaftar, anda akan diberi taklimat tentang tatacara penggunaan APP TNG di LRT dan kemudian kredit RM50 akan dimasukkan pada dompet digital anda.

Dalam tempoh percubaan, jika anda melkaukan lebih daripada 60 transaksi transit LRT, anda berpeluang untuk menerima isian dompet digital bernilai sehingga RM200.

Contoh pengimbas kod QR untuk menaiki tren

Selain menaiki tren, pelbagai perkara boleh dilakukan menerusi APP TNG. Anda boleh membayar bil utiliti, membeli tiket wayang, membeli tambah nilai perkhidmatan telefon, dan sebagainya. Namun, salah satu ciri yang paling ditunggu ramai, tetapi sudah dikeluarkan pihak TNG, adalah tambah nilai kad TNG terus daripada APP.

Tidaklah diketahui apa cabaran yang dihadapi mereka kerana mereka boleh saja mengadaptasikan sistem seperti kad debit bank.

Jika anda ingin menggunakan APP TNG, ia hadir untuk Android dan iOS,. Untuk maklumat lanjut tentang fungsi menaiki tren menggunakan APP TNG, layari laman rasmi produk.