Harga internet akan turun hingga 25% tapi ia tidak selesaikan masalah rakyat majoriti

Gobind Singh menyatakan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25% pada penghujung tahun ini. Ia berikutan perlaksanaan Harga Akses Standard Mandatori (MSAP) yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bermula 8 Jun 2018.

Polisi MSAP memastikan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi dalam pasaran. Penurunan harga borong ini bakal mengurangkan juga harga buat pengguna.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia ini juga menyatakan, MSAP sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2018, tetapi ditangguhkan atas rayuan Telekom Malaysia (TM) untuk SKMM mengkaji semula beberapa butir komponen harga.

Berita penurunan harga ini memang sangat menggembirakan, tetapi ia masih tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi majoriti rakyat Malaysia.

Secara kasar, harga internet di Malaysia telah menurun dengan drastik. Jalur lebar berkelajuan 10Mbps boleh dilanggan serendah RM119 sebulan, hinggalah ke kelajuan 500Mbps pada kadar RM299 sebulan. Berbanding pelan Streamyx yang dikenakan bayaran lebih RM100 sebulan dengan kelajuan sekitar 1-4Mbps sahaja.

Laporan kewangan TM bagi tahun unjuran 2017 menyatakan, mereka memiliki 2.33 juta pelanggan jalur lebar dengan 1.13 darinya adalah pelanggan Unifi. Bermakna, selebihnya iaitu 1.2 juta adalah pelanggan Streamyx.

Tahun 2017, kerajaan telah mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan harga dan menaikkan kelajuan internet, tetapi ia masih tidak banyak mengubah pelanggan Streamyx. Ini menunjukkan ia bukan lagi masalah harga tetapi masalah kesediaan infrastruktur.

Kita sedia maklum, jalur lebar seperti TM Unifi, Maxis Home Broadband mahupun Time Broadband hanya terdapat di bandar-bandar utama di Malaysia. Tetapi untuk penduduk bandar, masih ramai yang tidak dapat melanggan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Awal tahun ini, CEO kumpulan TM menyatakan mereka memiliki 2.8 juta port jalur lebar tetapi hanya 1 juta digunakan. Setiap port boleh menyambungkan sehingga 8 buah rumah. Apa yang terjadi dengan 1.8 juta port yang tidak digunakan? Adakah TM yang tersilap pilih lokasi pemasangan atau masih ramai pengguna tidak tahu kewujudan jalur lebar di tempat mereka?

BACA  Huawei Y9 2019 seimbang antara bajet dan prestasi

Untuk mendapat lebih ramai pelanggan, infrastruktur jalur lebar harus diluaskan ke seluruh negara. Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB2) telah berjalan meliputi beberapa lagi bandar utama. Dalam projek ini, TM membelanjakan RM1.3 bilion dengan RM500 juta lagi ditambah oleh kerajaan.

Bagi luar bandar, projek Jalur Lebar Sub Bandar (SUBB) memberi fokus kepada naik taraf talian kuprum untuk kelajuan internet lebih tinggi, mencecah 20Mbps. TM menyuntik RM1 bilion untuk projek ini dan kerajaan pula melaburkan RM600 juta.

Secara logik, memang sukar untuk memastikan setiap pekan mahupun bandar di Malaysia dipasang gentian optik. Kerana itu, jalur lebar 4G boleh memainkan peranan. Beberapa telko di Malaysia telah menawarkan jalur lebar 4G sebagai alternatif kepada jalur lebar tetap.

Pengembangan internet jalur lebar di Malaysia memerlukan usaha pihak kerajaan bersama syarikat telko. Beberapa infrastruktur awam boleh digunakan bersama untuk meluaskan capaian jalur lebar seperti pemasangan pemancar di tiang lampu atau papan tanda. Kerajaan juga boleh menubuhkan konsortium yang menggabungkan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa, syarikat telekomunikasi dan pemilik bangunan agar ia boleh diselaraskan.

Adakah anda mempunyai cadangan yang bernas? Kongsikan pendapat anda dengan kami.

[Sumber: SoyaCincau, TheStar]