Salah satu ikon telefon Nokia akan berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Nokia 8110 yang turut popular dengan gelaran Nokia Pisang lebih 20 tahun dahulu, akan dijual di Malaysia mengiringi telefon pintar Nokia 6.1 bermula minggu ini.
Nokia 8110 yang baru ini dinamakan Nokia 8110 4G, menegaskan ia boleh digunakan di seluruh dunia. Terutama di negara yang telah menghentikan talian 2G seperti Australia dan Singapura. Walaupun ia adalah telefon klasik, ia sebenarnya mampu menjalankan fungsi telefon pintar.
Kuasa dalaman Nokia 8110 4G digerakkan oleh cip Qualcomm 205, 512MB RAM dan 4GB storan dalaman. Ia menyokong kad mikroSD sehingga 64GB, dan menerima dua kad sim. Telefon ini juga menyokong teknologi VoLTE untuk kualiti HD panggilan.
Sistem operasi KaiOS menjadi tulang belakang telefon ini di mana ia memiliki App Store tersendiri, dan boleh memuat turun aplikasi popular seperti Google Assistant, Google Maps, Google Search, Facebook dan Twitter. Emel dan kenalan turut boleh diselarikan melalui aplikasi Outlook dan Gmail.
Keupayaan pintarnya ditambah lagi dengan kamera belakang 2MP bersama LED Flash, tetapi tiada kamera hadapan bermakna swafoto harus menggunakan kamera belakang juga. Selain itu, Nokia 8110 4G turut boleh menjadi hotspot untuk berkongsi data mudah alih bersama peranti lain. Sehingga 10 peranti boleh berkongsi hotspot dari telefon ini.
Ciri-ciri klasik Nokia 8110 4G adalah seperti rekaan melengkung seperti pisang, badan yang boleh diputar seperti helikopter dan juga penutup yang boleh dilungsurkan untuk menjawab dan mematikan panggilan.
Sebagai sebuah telefon klasik, daya tahan bateri Nokia 8110 4G sangat panjang. Ia boleh berada dalam mod bersedia sehingga 25 hari dengan bateri boleh cabut berkapasiti 1,500mAh.
Nokia 8110 4G akan dijual di Malaysia bermula 6 Julai 2018, pada harga RM285. Dua warna boleh dipilih, antara Hitam Tradisional dan Kuning Pisang.
Turut diumumkan sama penjualannya minggu ini adalah Nokia 6.1, pengganti kepada Nokia 6 yang dilancar tahun lepas. Ia menerima naik taraf dalam dan luar bagi memberinya lebih kuasa dan daya tahan.
Badan Nokia 6.1 diperbuat dari sebongkah aluminimum siri-6000 dan dengan dua tona warna badan. Ia memiliki skrin HD Penuh berukuran 5.5-inci tetapi dalam nisbah 16:9.
Nokia 6.1 dikuasakan cip Snapdragon 630, 4GB RAM, 64GB storan dalaman dan menyokong kad mikroSD sehingga 128GB. Ia menjalankan sistem operasi Android 8.0 Oreo tulen dan menyertai program Android One.
Bateri 3,000mAh dimuatkan di dalam Nokia 6.1 dan ia menyokong pengecasan pantas USB-C yang boleh mengecas 50% dalam masa 30 minit. Pengimbas capjari terdapat di belakang dan ia masih memiliki port audio 3.5mm.
Kamera belakang telefon ini menggunakan sensor tunggal 16MP F2.0 bersama lensa ZEISS Optics. Untuk kamera depan pula, ia menggunakan lensa 8MP F2.0. Fungsi Bothie yang merakam video menggunakan kedua-dua kamera depan dan belakang turut ada di Nokia 6.1.
Nokia 6.1 akan dijual di Malaysia bermula 6 Julai 2018, pada harga RM1,100. Ia terdapat dalam satu warna sahaja, iaitu dua tona Biru/Emas.