honor Play telefon gaming tak sampai RM1,250

Hari ini honor Malaysia mengadakan acara honor Play Fair di Sunway Pyramid. Ia juga merupakan majlis pelancaran peranti terbaru mereka, honor Play yang dikuasakan cip Kirin 970 tetapi berharga jauh lebih rendah dari peranti lain.

Kirin 970 adalah cip terbaik dari Huawei yang digunakan di pelbagai peranti flagship seperti Huawei P20 Pro, Mate 10 Pro, honor 10 dan honor view 10. Kesemua peranti ini berharga lebih dari RM1,599 tetapi kedatangan honor Play akan memecah tanda harga ini.

honor Play hari ini diumumkan akan dijual di Malaysia pada harga RM1,249, paling murah untuk peranti dengan cip Kirin 970. Ia direka untuk memenuhi keperluan pemain games dengan bajet kecil.

honor Play akan dijual bermula 10 Ogos 2018. Tetapi khas untuk tempahan awal honor Play dari 7-9 Ogos, pembeli akan menerima hadiah percuma berupa pelindung skrin, case, baucar PUBG RM60 dan baucar honor RM100 atau Shopee Coin RM100.

Tempahan awal ini boleh dibuat di laman web HiHonor Malaysia dan Stor honor di Shopee. Pembeli yang membuat tempahan awal juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa percutian percuma ke Jerman.

Pembelian honor Play pada 10-12 Ogos di Shopee, Lazada, 11street dan SenQ pula akan menerima pelindung skrin, case dan baucar PUBG RM60. Pembelian di HiHonor pada tarikh ini, akan menerima semua hadiah tadi termasuk baucar HiHonor RM100.

Antara ciri-ciri yang menjadikan honor Play sesuai untuk gamers adalah kuasa GPU Turbo di dalam cip Kirin 970 yang meningkatkan prestasi, skrin lebar 6.3-inci FullView Display dan bateri sebesar 3,750mAh dengan pengecas pantas 9V2A.

honor Play juga dimaklumkan datang dengan sistem bunyi 3D yang penting untuk pemain games, sistem getaran 4D Smart Shock seperti di konsol permainan, serta Game Suite Mode yang menyembunyikan butang navigasi dan mendiamkan notifikasi dari terpapar ketika bermain games.

BACA  honor 8X merah menyala masih peranti 128GB termurah

Perkakas seperti di atas memang dapat memuaskan hati gamers. Tetapi untuk perkara lain, ia kelihatan biasa. Peranti ini memiliki RAM sebanyak 4GB dan storan dalaman 64GB. Ia sedia menerima kad mikroSD dalam slot kad hibrid.

Pembesar suaranya hanya satu di bawah. Kameranya pula lensa berkembar 16MP+2MP berkuasa AI di belakang, untuk efek bokeh dan mod potret. Kamera hadapan pula 16MP dengan pixel-binning, menjadikan saiz piksel 2-mikron untuk tangkapan swafoto lebih cerah.

Ciri-ciri yang terdapat di honor Play memang sangat bagus untuk kaki games. Apatah lagi harganya yang dilihat sangat berbaloi dan jauh lebih murah dari telefon khas gaming yang lain.

Untuk maklumat lanjut, layari laman honor Play Malaysia.